Baru nak rasa teruja dapat cabutan bertuah bank, 2 individu ‘melopong’ lepas rugi lebih RM100k

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang ini ada banyak sangat cara ‘scammer’ menipu orang ramai selalunya melibatkan wang bernilai ratusan ribu ringgit.

Bila melihat wang yang banyak, pastinya ada segelintir orang akan merasa teruja ibarat bulan jatuh ke riba sedangkan itu hanyalah taktik penipuan.

Teruja menekan pautan untuk memenangi cabutan bertuah kononnnya anjuran sebuah bank, dua individu rugi RM109,750 akibat diperdaya sindiket penipuan pada Selasa lalu.

Mangsa adalah pesara wanita berusia 60 tahun dan guru lelaki berumur 50 tahun masing-masing membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu lapor Kosmo! Online.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor memaklumkan mangsa wanita kerugian RM66,000 manakala lelaki pula sebanyak RM43,750.

“Kedua-dua mangsa mengaku menekan pautan kononnya iklan cabutan bertuah sebuah bank di laman Facebook pada 11 Februari lalu.

“Sebaik pautan itu ditekan, mereka perlu memberikan maklumat perbankan masing-masing kononnya sebagai syarat bagi mengetahui hadiah cabutan bertuah ditawarkan,” katanya seperti dipetik Kosmo!.

Taktik digunakan scammer adalah menghantar satu mesej khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan mereka telah didaftarkan dengan aplikasi perbankan tersebut di telefon bimbit.

Beliau berkata, mereka yang tidak memuat naik aplikasi tersebut tambah terkejut apabila mendapati sejumlah besar wang di dalam akaun bank berkenaan telah lesap.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita turut menerima lima kes sama menggunakan modus operandi serupa,” katanya.

Baca juga: Usaha PM bantu pesawah tak pernah dibuat mana-mana pentadbiran sebelum ini