Baru semalam bekas setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Junid berada dalam ICU (Unit Rawatan Rapi), Institut Jantung Negara bagi merawat jantungnya, namun petang ini beliau memohon keluar untuk membantai presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Sanusi, beliau memohon dari doktor yang merawatnya untuk keluar sementara bagi menyertai perhimpunan agung Umno.
“Bukan saya sertai perhimpunan agung Umno, saya datang ke majlis ini,” kata Sanusi ketika berucap di majlis amanat khas Tun Dr Mahathir di Muzium Kesenian Islam petang ini.
Sanusi yang datang berpapah berkata, sebelum datang ke sini, Dr Mahathir telah menasihatkan beliau agar jangan berucap kerana beliau masih sakit.
“Jadi saya datang awal sikit supaya Tun tak tahu saya berucap,” kata Sanusi yang kelihatan masih tidak sihat ketika berucap menjelang ketibaan Dr Mahathir di majlis itu.
Namun, ketika Dr Mahathir sudah tiba dan naik ke pentas di sebelah beliau, Sanusi telah mengubah ayatnya.
“Tun, saya kena bercakap kerana doktor kata, kalau saya bercakap cepat sembuh,” kata Sanusi diiringi tepukan gemuruh lebih 500 penyokong Umno yang memenuhi auditorium Muzium Kesenian Islam itu.
Selain Sanusi yang datang berpapah, Dr Mahathir juga kelihatan tidak sihat.
Isteri beliau, Tun Siti Hasmah Mohd Ali juga datang dalam keadaan berpapah ke majlis itu.
Pembantu beliau terpaksa membawa sebiji bantal kemudiannya untuk diletakkan di atas kerusi di belakangnya bagi membolehkan beliau duduk dengan selesa.
Ketika berucap di majlis itu, Sanusi berkata, punca sebenar masalah negara sekarang adalah kerana satu sahaja iaitu kerana Malaysia mempunyai pemimpin yang tiada moral.
“Sudahlah tiada moral, playboy pula yang susah untuk mengawal nafsu,” kata Sanusi yang ditujukan kepada Najib.
Oleh kerana itulah, kata Sanusi, kawan-kawan yang dikumpulkan olehnya juga dari golongan ini.