Baru tahu ada cara elak serbuk Milo dan kopi mengeras, cuma beli 1 bahan ini saja!

Oleh WAN SITI AMINAH

Serbuk bancuhan minuman seperti Milo, Nescafe dan juga Horlicks adalah salah satu bahan yang ‘wajib’ ada di hampir seluruh rumah di Malaysia.

Cukup digemari oleh rakyat Malaysia, jenis bancuhan air minuman ini membantu membekalkan tenaga selain rasanya yang enak dan sesuai dengan selera tempatan.

Namun begitu, pasti ramai di antara kita yang mengalami masalah yang sama di mana serbuk minuman ini boleh mengeras dan juga berketul sebelum tarikh luput.

Tetap masuk angin walaupun telah diletakkan dalam bekas kedap udara, berikut kami kongsikan petua daripada pengguna Instagram dikenali sebagai Fasz Nadiah.

Menurut Fasz Nadiah, masalah tersebut dapat diatasi dengan penggunaan oxygen obsorber atau serbuk zat besi penyerap oksigen yang boleh dibeli di atas talian.

“Pernah tak serbuk Milo, Nescafe dan Horlicks kamu semua jadi keras? Dah simpan dalam bekas kedap udara masih jadi macam itu juga walhal tarikh luput lama lagi.

“Hari itu ternampak di Facebook orang kongsi penggunaan oxygen absorber (jenis gred makanan) ini dekat dalam bekas Milo, Nescafe atau apa-apa serbuk,” katanya.

Namun begitu, orang ramai diingatkan untuk tidak menggunakan penyerap oksigen jenis gel silika kerana ia bukan jenis gred makanan dan membahayakan kesihatan.

“Nak cari, carilah jenis yang food grade seperti ini, dijamin selamat,” jelasnya sambil menunjukkan dua jenis penyerap oksigen yang sesuai digunakan untuk makanan.

Jenis penyerap oksigen dan pengering makanan yang sesuai untuk digunakan.

Jelasnya, serbuk dalam paket berwarna kuning ini sesuai diletak dalam bekas berisi Milo, teh, tepung, serbuk rempah, ikan bilis, atau serbuk bawang putih.

Manakala, paket berwarna hijau (food desiccant) pula sesuai digunakan untuk menjaga kesegaran makanan diperbuat daripada kekacang, biskut serta kerepek.

Baca juga: “Dulu mengandung 9 bulan boleh nyanyi dekat club lagi” – Tom akui lebih letih mengandung di usia 37 tahun