Kuih Sagu Merah merupakan salah satu jenis pencuci mulut tradisonal yang cukup digemari oleh segenap lapisan masyarakat Melayu.
Bukan sahaja sering dijadikan menu sarapan pagi atau minum petang, Kuih Sagu ini juga dikatakan begitu popular sebagai hidangan pencuci mulut di kenduri kendara.
Walau bagaimanapun, kebanyakkan orang lebih gemar membeli ataupun menempah kuih ini daripada penjual berbanding cuba untuk menyediakannya sendiri di rumah.
Menyedari hal ini, seorang wanita dikenali sebagai Aminah Taharim tampil berkongsi cara mudah untuk menyediakan pencuci mulut itu menggunakan periuk nasi elektrik.
“Semudah menanak nasi! Hanya tukar bahan beras dengan sagu dan gula. Sila buat terus. Tak perlu risau, memang menjadi. Selamat mencuba. Kakak sudah buat untuk makan petang.
Kuihnya menjadi kenyal dan lembut. Suami dan anak-anak juga suka!.” Kata Aminah menerusi satu hantaran tular di kumpulan Facebook, Masak Apa Hari Ni (MAHN).
Bahan-Bahan:
- Satu cawan sagu
- Satu cawan gula (kurangkan kalau suka kurang manis)
- Satu setengah cawan air
- Kelapa parut secukupnya
- Secubit garam
Cara-Cara:
1. Mula-mula, didihkan air bersama gula di dalam periuk nasi elektrik. Pastikan semua gula larut sepenuhnya.
2. Sementara menunggu bahan mendidih, siramkan sagu dengan air sekali lalu untuk membersihkannya. Kemudian masukkan sagu itu dalam periuk yang sudah mendidih.
3. Kacaukan sagu kemudian tutup dengan penutup periuk nasi. Selepas itu, biarkan semua bahan masak sehingga biji-biji sagu menjadi jernih dan tidak kelihatan putih.
4. Tidak perlu risau sekiranya membazir sekiranya sagu melekat di tepi periuk kerana peralatan elektrik tersebut mampu mengawal suhu dengan baik.
5. Setelah masak, pindahkan sagu ke dalam bekas dan biar ia sejuk seketika. Setelah sejuk, potongkan sagu mengikut citarasa anda.
6. Kemudian gaul dengan kelapa parut dan secubit garam. Sekiranya suka, anda juga boleh menikmatinya dengan susu cair.
Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca!
Baca juga: Baru tahu tempurung kelapa boleh lembutkan isi ayam pencen, senang nak masak rendang nanti!