Baru tahu dakwaan isi minyak penuh sebabkan kerugian tak tepat, ini penjelasan pakar automatif

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini, seorang individu tampil membuat dakwaan kononnya amalan mengisi minyak hingga tangki penuh boleh menyebabkan pemilik kenderaan alami kerugian.

Hal ini berikutan tangki yang penuh dikatakan akan menambah berat atau bebanan tambahan lalu menjadi punca kenderaan menggunakan lebih banyak bahan api itu.

Tampil menjawab spekulasi, jurutera simulasi, pakar aliran bendalir dan pemindahan haba dikenali sebagai Dr Aid Fawzal memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

Dr Aid Fawzal yang turut memegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang automatif itu memaklumkan kenyataan ditularkan tersebut hanyalah ‘separa benar’.

Pemilik nama sebenar Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal itu kemudian memperincikan nisbah berat petrol bagi tiga jenis kenderaan berbeza untuk menerangkan teorinya.

1. Perodua Myvi

Saiz tangki = 40 liter (L)

Ketumpatan petrol = ~740 kilogram per meter padu (kg/m3)

Maka berat tangki penuh berisi petrol = 30kg

Berat kereta = 950kg

Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = 30/950 bersamaan 3 peratus

2. Perodua Bezza

Saiz tangki = 36L bersamaan 27kg

Berat kereta = 940kg

Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = 27/940 bersamaan 3 peratus

3. Proton X70

Saiz tangki = 60L bersamaan 44kg

Berat kereta = 1675kg

Nisbah berat petrol terhadap berat kereta = ~ 3 peratus

Berdasarkan perincian tersebut, jelaslah bahawa berat isian penuh petrol langsung tidak signifikan apabila dibandingkan dengan berat sesuatu kereta yang dipandu.

“Apabila badan kereta besar, maka berat kereta juga besarlah. Akhirnya berat petrol yang diisi penuh tadi hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan berat keseluruhan kereta.

“Adalah tidak benar (dakwaan) yang kita akan rugi dengan mengisi minyak secara penuh. Hal ini kerana, berat isian penuh petrol tidak signifikan apabila dibandingkan dengan berat kereta.

“Sebaliknya, kerugian dalam penggunaan petrol lebih terkesan di atas faktor lain,” jelasnya yang turut menyenaraikan punca kerugiaan dalam penggunaan bahan api.

Berikut empat faktor yang boleh menyebabkan kerugian minyak petrol berdasarkan hantaran Dr Aid Fawzal dalam akaun Facebook miliknya;

  1. Simpan barang-barang berat yang tidak diperlukan dalam kereta.
  2. Pandu secara melulu.
  3. Pandu dalam kelajuan melampau.
  4. Pasang bodykit yang tidak aerodinamik.

Baca juga: 5 kereta miliki cukai jalan paling mahal di Malaysia, cukai kenderaan diraja pun tak semahal nombor 4 ini