Setiap rumah pasti mempunyai sehelai tuala untuk kegunaan harian. Biasanya kita guna untuk lap badan yang basah selepas kita mandi.
Namun anda perasan tak di permukaan tuala itu ada garis-garis tebal melintang. Biasanya kita dapat tengok dua hingga tiga garisan.
Rupanya garisan-garisan ini bukan sengaja diletakkan untuk perhiasan. Garisan ini dikenali sebagaiĀ Dobby Border, dan ia memainkan peranan penting pada tuala,
Jangka Hayat Penggunaan
Kebiasannya tuala yang telah lama digunakan akan cepat renyuk dan koyak bergantung kepada jenis tuala yang kita pakai.
Garisan pada tuala ini bertindak sebagai ‘pengukuh’ bagi mengelakkan ia terlerai dan boleh digunakan dalam tempoh yang lama.
Bagi mereka yang melakukan perniagaan seperti perhotelan dan resort, sudah tentunya tuala antara perkara penting dan digunakan dalam jumlah yang besar,
Aspek ketahanan menjadi pilihan utama buat mereka dalam perniagaan ini.
Seperti penjelasan sebelum ini, garis hujung pada tuala memberikan integriti struktur tambahan, memastikan tuala mampu bertahan dan kekal dengan saiz yang sama walaupun dicuci dengan kerap.
Cengkaman
Jika anda perasan, garis tuala ini juga memberikan cengkaman yang lebih baik pada pengguna.
Garisan ini sangat praktikal dalam menyusun, melipat atau menggantung tuala.
Ciri ini sangat bermanfaat dalam persekitaran komersial seperti hotel, gim, dan spa.
Penyerapan
Seperti yang kita tahu, tuala yang cepat kering dapat mengurangkan mencegah bau hapak.
Salah satu fungsi kain ini juga adalah mampu membantu mengeringkan tuala lebih cepat, dengan memastikan kelembapan diagihkan secara sekata di seluruh permukaan tuala.
Struktur Tuala
Kehadiran garisan ini sebenarnya memberikan keseimbangan sempurna antara ketebalan dan prestasi tuala.
Secara tidak langsung, ia memastikan tuala kekal lembut, ringan, dan mudah dikendalikan untuk mengeringkan badan serta permukaan.