Tahukah anda, kuman yang melekat pada span pencuci pinggan boleh mengundang bahaya kepada kesihatan dan menyebabkan masalah pencernaan seperti cirit-birit.
Perkara mengejutkan itu didedahkan oleh Public Health Malaysia atau PHM menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun media sosial Facebook rasmi miliknya.
Menurut PHM, terdapat pelbagai jenis bakteria berbahaya dijumpai melekat di span yang digunakan untuk membersihkan perkakas dapur termasuklah botol susu bayi.
Bakteria yang boleh menyebabkan cirit-birit ini malangnya tidak dapat ‘dibunuh’ atau mati begitu sahaja walaupun terendam lama dalam larutan sabun pencuci pinggan.
“Anda menggunakan span untuk bersihkan pinggan, mangkuk, cawan, periuk, sudu garfu, botol susu bayi dan bermacam-macam lagi barang termasuk perkakas dapur.
“Namun tahukah anda? Pelbagai jenis kuman bakteria sebagai contoh Acinetobacter, Moraxella dan Chryseobacterium serta kulat ditemukan melekat di span dapur rumah anda.
“Kajian-kajian juga telah menunjukkan bahawa kuman masih wujud walaupun span direndam dalam sabun pinggan. Malah boleh jadi lebih kotor berbanding keadaan di dalam tandas anda. Span adalah SYURGA bagi kuman,” jelas PHM.
Sehubungan dengan itu, PHM tampil memberi kesedaran kepada orang awam selain berkongsi cara yang betul untuk membersihkan span hingga bakteria tersebut hilang.
Pengguna juga disarankan oleh pihak PHM untuk menukar span sekurang-kurangnya tiga minggu sekali ataupun sebaik sahaja peralatan mencuci tersebut berbau busuk.
Berikut panduan untuk mencuci span sehingga bersih berdasarkan perkongsian yang dimuat naik oleh PHM di laman Facebook itu;
1) Rebus di dalam air panas selama lima minit atau,
2) Letakkan ke dalam bekas berisi air dan peluntur sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang micro (microwave) selama dua minit.
Baca juga: “Tanyalah tuan badan sendiri” – Riena Diana sangkal dakwaan rampas Keith Foo dari Tiz Zaqyah