Baru tahu lilin rupanya boleh dibuat sendiri di rumah, hanya perlu guna 2 bahan sahaja!

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemilik rumah pasti pernah berdepan dengan situasi panik kerana tidak menemukan stok lilin di rumah ketika kediaman mengalami masalah gangguan elektrik.

Kelam-kabut dibuatnya, kejadian ‘misteri’ ini tentunya kerap dialami oleh orang ramai di mana lilin sudah yang dibeli malah hilang sekelip mata ketika waktu memerlukan.

Tidak perlu bergelap ketika tiada bekalan elektrik, seorang wanita tampil berkongsi ilmunya membuat lilin sendiri dengan mudah menggunakan barang keperluan rumah.

Jelasnya, pemilik rumah cuma perlu menyediakan putik kapas dan batu atau manik kerana bahan lain seperti minyak masak, air dan juga gelas sudah berada di dapur.

Berikut adalah langkah-langkah membuat lilin dengan menggunakan barang dapur yang berada di rumah anda;

1. Isikan dasar gelas atau yang dipilih untuk membuat lilin dengan beberapa biji batu-bata atau manik.

2. Kemudian, letakkan satu putik kapas secara menegak di bahagian tengah gelas.

3. Selepas itu, isikan air ke dalamnya dalam sukatan kira-kira setengah gelas.

4. Langkah seterusnya adalah isikan minyak goreng di atas lapisan air sehinggalah kandungan di dalam gelas mencecah ke hujung putik kapas.

5. Kemudian api sudah boleh terus dinyalakan dan bersedia untuk digunakan seperti lilin biasa.

Kaedah membuat lilin secara DIY (do it yourself) ini dikongsi oleh wanita yang dikenali sebagai Anisah Connie menerusi satu hantaran di akaun media sosial Facebook miliknya.

Selepas ini sudah tidak kelam-kabutlah mencari lilin di rumah apabila tiada elektrik. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika menggunakannya kerana khuatir berlaku kebakaran.

Baca juga: Tak sampai 5 bulan berjualan sumber hutan di TikTok, wanita Orang Asli dapat bina rumah sendiri