Baru tahu punca sebenar Sinar Harian tersalah letak profil KPN

Oleh ROSLAN ZAMAN

Portal Sinar Harian semalam menggegarkan dunia kewartawanan Malaysia apabila menerbitkan infografik berkenaan perihal Ketua Polis Negara yang baru, Datuk Seri Khalid Ismail yang mengaitkannya dengan politik.

Kandungan tersebut memaparkan tentang perjalanan kerjaya politik Khalid Ismail yang memegang jawatan daripada parti Umno sehinggalah di Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

Selepas tidak berapa lama kemudian, portal Sinar Harian memohon maaf atas kesilapan teknikal yang dibuat.

Infografik tersebut ternyata menimbulkan kegusaran dan persoalan yang besar kepada orang awam yang pelik bagaimana seorang calon Ketua Polis Negara boleh terlibat dengan parti politik dan memegang jawatan besar dalamnya.

Kesilapan teknikal ini dipercayai berpunca daripada salinan terus profil Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani dari PKR.

Semakan mendapati ayat sama pernah digunakan dalam infografik Sinar Harian yang diterbitkan pada 19 Disember 2022 bagi memperkenalkan Datuk Johari ketika dilantik sebagai Speaker.

Semalam, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.

Pelantikan diperkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri serta perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

baca: AMANAH Kedah lapor polis