Perkara pertama yang menjadi pertimbangan pelancong beragama Islam sebelum memutuskan untuk berkunjung ke luar negara termasuklah ke China sudah tentulah akses kepada makanan halal.
Hal ini kerana kita memerlukan tenaga untuk berkunjung ke pelbagai lokasi menarik di negara tersebut selain mahu menikmati sendiri hidangan tempatan yang tidak dijual di tempat lain.
Namun siapa sangka, rupa-rupanya mudah sahaja untuk mencari makanan halal terutamanya bagi mereka yang memilih negara Tembok Besar China sebagai destinasi perlancongan.
Hal ini berikutan makanan halal boleh ditemukan dengan mengikut dua tips mudah yang dikongsi oleh pencipta kandungan TikTok dari China dikenali sebagai Latifah Huang.
Menurut Latifah Huang, tips pertama di dalam pencarian makanan halal di negara China adalah mengenal pasti tanda ‘Qing Zhen’ (清真) iaitu istilah di dalam bahasa tempatan yang membawa maksud halal.
Tanda ini sering dijumpai di restoran-restoran, kedai runcit dan pek bungkusan makanan di mana warna hijau sering digunakan pada label ataupun papan tanda premis yang menunjukkan bahawa barangan dijual adalah halal.
Jelas Latifah, pelancong yang membeli makanan dengan simbol ‘Qing Zhen’ ini tidak perlu merasa risau berikutan produk berkenaan sememangnya disediakan mengikut standard halal.
Selain mencari simbol atau tanda ‘Qing Zen’ secara fizikal di kedai makan ataupun pasar raya, pelancong juga boleh membuat carian makanan halal secara atas talian dengan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.
Contoh aplikasi yang dicadangkan oleh Latifah ialah ‘Da Zhong Dian Ping (大众点评)’ di mana pengunjung boleh memasukkan kata kunci ‘Qing Zhen Cai (清真菜)’ untuk mencari makanan halal.
Aplikasi ini dikatakan menyerupai Yelp iaitu laman web di mana orang ramai memberikan ulasan mengenai servis dan produk sesuatu perniagaan termasuk di dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
Pelancong juga boleh mendapatkan peta yang memberi maklumat terperinci mengenai lokasi restoran atau kedai makanan halal terdekat melalui aplikasi berkenaan sekali gus memudahkan mereka yang berkunjung ke China.
Baca juga: Berdekah tengok 53 senarai nama sekolah paling pelik dekat Malaysia