Baru tingkatan dua dah bayar zakat perniagaan RM10,000, kisah pelajar ini buat ramai terkejut

Oleh SHAFIQAH MUKHSIN

Baru berusia 14 tahun, gadis ini menjadi individu paling muda bayar zakat perniagaan sebanyak RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Bukan biasa-biasa gadis tersebut sebenarnya adalah pengasas produk pemakanan dan membuat jualan menerusi platform TikTok.

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman hadir ke pejabat MAIK pada Khamis lalu lapor Berita Harian.

Pembayaran zakat itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.

Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya memaklumkan dia tampil menunaikan tanggungjawab itu selepas produk yang diusahakannya mencapai jualan sebanyak RM400,000.

Hasil jualan tersebut adalah dalam tempoh empat bulan selepas produk mula dijual bermula September tahun lalu.

“Saya mula berniaga menerusi aplikasi TikTok dan agak terkejut apabila mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.

“Susulan itu saya mula mengambil ejen untuk meluaskan lagi penjualan produk saya,” katanya seperti dipetik BH.

Ibu dan ayahnya menggalakkan gadis tersebut untuk mengeluarkan zakat perniagaan kepada MAIK.

Kisah gadis ini tular bulan lalu apabila membawa bekas air Starbucks berharga RM1,800 ke sekolah.

Malah, tahun lalu anak keenam daripada lapan beradik itu membawa ahli keluarganya ke Makkah menunaikan umrah hasil daripada jualan produknya yang mendapat sambutan.

Katanya, dia lega dapat menjadi salah seorang pembayar zakat dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Ini juga ajaran nenek sebab nenek selalu berpesan apa-apa mesti dahulukan zakat. Saya juga berharap perniagaan ini semakin maju katanya.

Sementara itu, Ameer Azeezy, berkata pihak MAIK bertuah kerana mendapat pembayar zakat termuda iaitu baru berusia 14 tahun.

“Dalam beliau bersekolah dan belajar, namun masih sempat mencari rezeki dengan cara yang betul dan tidak lupakan Allah,” katanya.

Baca juga: Bila raya sebenarnya ini, Jumaat atau Sabtu? Ustaz Kazim minta orang ramai bersabar