Ketua II Gabungan Penulis Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan sekali lagi mendesak kerajaan membatalkan pelaksanaan program dwibahasa (DLP) sesuai dengan situasi semasa ekonomi yang tidak menentu.
Beliau berkata, langkah tersebut wajar memandangkan kerajaan perlu memberi keutamaan untuk menangani bebanan peningkatan kos sara hidup ditanggung rakyat.
“Lupakan saja DLP. Saya berharap kerajaan berhentikan keputusan itu sesuai dengan langkah berjimat-cermat duit rakyat. Fokus kepada keperluan-keperluan ekonomi yang dikehendaki rakyat.
“DLP bukan keutamaan buat masa ini ketika rakyat berdepan dengan kenaikan mendadak harga barangan makanan dan perkhidmatan termasuk pengangkutan,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline, semalam di pejabatnya di ibu negara.
Menurut bekas ahli akademik dari Universiti Malaya (UM) ini, penurunan harga minyak mentah dunia yang turut menjejaskan hasil pendapatan negara sepatutnya diambil kira dalam sebarang keputusan kerajaan termasuk pelaksanaan DLP.
“Harga barang meningkat, harga minyak jatuh. Sudah tentu pendapatan kerajaan merosot. Apalagi pada masa ini kerajaan perlu mengubahsuai Bajet 2016. Jadi, hentikanlah DLP kerana kerajaan terpaksa berbelanja besar. Kelengkapan berkaitan dan buku pun belum siap lagi,” ujarnya.
Untuk rekod, sebanyak RM38.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program DLP dan Program Imersif Tinggi (HIP) seperti terkandung dalam Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Oktober tahun lalu.
DLP di luar sistem pendidikan kebangsaan
Mengulas lanjut tentang desakan penyokong DLP yang antara lain mendakwa program berkenaan sebagai lanjutan daripada pengajaran Bahasa Inggeris sejak di peringkat tadika, Zainal Abidin menegaskan DLP bukan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.
“Bila seseorang murid itu melangkah ke Darjah 1, dia sudah tertakluk dalam kurikulum nasional. Walaupun sistem pendidikan kebangsaan mengiktiraf kewujudan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil melalui SJK (Sekolah Jenis Kebangsaan) tetapi itu bukan bermaksud sistem pendidikan negara menerima konsep multilingual. Dasar kita juga tidak mengiktiraf sistem dwibahasa. Kita masih tertakluk kepada akta,” jelasnya.
Mengemukakan senarai subjek wajib dan elektif yang terlibat dengan DLP seperti terkandung dalam satu pembentangan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) tahun lalu, beliau berkata, lebih banyak mata pelajaran di sekolah-sekolah akan diajar dalam bahasa Inggeris.
“Ini satu pengkhianatan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Sungguhpun hanya tiga mata pelajaran wajib diajar dalam bahasa Inggeris manakala tujuh subjek lagi dalam bahasa Melayu tetapi mata pelajaran elektif yang diajar dalam bahasa Inggeris kesan daripada DLP lebih banyak.
“Tak seimbang. ‘Berat’nya lebih kepada bahasa Inggeris. DLP menjadikan bahasa Inggeris muncul sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran berkaitan sains, matematik dan teknologi.
“Namun hairannya, bagaimana mata pelajaran ‘Commerce’ dan ‘Principles of Accounting’ yang tajuk pun dalam Bahasa Inggeris masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar?
“Mata pelajaran Sains Pertanian pun kononnya diajar dalam bahasa kebangsaan padahal kita tahu subjek itu ada hubungan dengan biologi dan kimia yang dalam senarai yang sama diajar dalam bahasa Inggeris. Nampak benar temberang,” bidasnya sambil menunjukkan senarai disediakan Pemandu itu kepada Malaysia Dateline.
Walaupun mengakui daripada satu sudut lain wujud kemungkinan tekanan atau desakan politik mahupun kepentingan tertentu tetapi beliau sekali lagi menegaskan pembatalan DLP merupakan keputusan melangkaui kepentingan rakyat terbanyak dan negara dalam jangka panjang.
Sungguhpun DLP diuar-uarkan sebagai langkah penting bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, program yang dlihat penuh muslihat itu hanya dilaksanakan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan tidak melibatkan SJK.