Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berpendapat pelbagai kelemahan berkaitan operasi melombong dan mengangkut bauksit di Kuantan
perlu diperbaiki dalam tempoh tiga bulan penggantungan sementara (moratorium) tetapi pada masa sama tidak menafikan peluang ekonomi yang diraih penduduk setempat.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, kerajaan perlu mengambil kira nasib lebih 200 peneroka Felda yang sejak tahun lalu dapat menambahkan pendapatan
hasil daripada aktiviti industri mineral itu ketika situasi ekonomi tidak menentu pada masa ini.
“Anak berpendirian sama dengan pelbagai pihak yang bimbang dengan kualiti alam sekitar serta ancaman kesihatan dan keselamatan yang dihadapi masyarakat tempatan akibat industri bauksit yang tidak terurus.
“Namun faktor pendapatan yang boleh dijana oleh penduduk seperti di kawasan Felda di Bukit Goh dan Bukit Kuantan yang terbabit dengan projek bauksit ini
tidak harus diabaikan,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di pejabat Anak di Hulu Kelang, 19 Januari lalu.
Menurut Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional itu, kerajaan sebagai pihak paling bertanggungjawab perlu mengambil langkah tegas dengan pendekatan berkesan
bagi menangani masalah dialami penduduk tanpa menjejaskan peluang pendapatan diperolehi mereka terbabit.
“Bagi peneroka Felda, pokok (kelapa sawit) mereka sekarang sudah tua. Tak banyak keluar hasil lagi. Tak lama lagi nak tebang. Bila mereka berdepan dengan tanam semula, mereka terpaksa berhutang.
“Mengikut pengalaman saya, lazimnya untuk mencapai pulangan semula sawit mengambil masa tujuh hingga ke lapan tahun, sebab itu hutang mereka akan
berlipat kali ganda. Jadi dengan pendapatan terlalu rendah, bila mereka ada peluang melalui projek bauksit, ini akan memberi pendapatan lebih baik,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mazlan yang juga Pengerusi Biro Tanah dan Pembangunan Luar Bandar Amanah menggesa kerajaan negeri dan pusat melalui jabatan dan agensi
kerajaan terlibat mengambil kira aspek kawalan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pengusaha bauksit.
“Namun kita pun tahu pelbagai kelemahan yang wujud. Sepatutnya sekarang dalam tempoh penangguhan sementara sejak 15 Januari lalu, pihak berkuasa
terbabit mesti membuat semakan semula ke atas semua perkara termasuk peraturan atau perjanjian dengan pelombong dan penguasaha bauksit ini,” ujarnya.
Turut mempersoalkan sejauh mana pihak berwajib sedang dan akan melakukan tindakan sewajarnya dalam tempoh pelaksanaan moratorium selama tiga bulan
ini, beliau berharap jabatan dan agensi kerajaan terlibat mengadakan pertemuan dan perbincangan meja bulat dengan semua pihak terlibat dalam industri mineral itu.
“Ini termasuklah pihak Felda sendiri, adakah sudah benar-benar turun padang berperanan menjadi penasihat kepada peneroka? Kita tidak mahu tiadanya tindakan susulan sepanjang tiga bulan ini bahkan selepas berakhir tempoh moratorium ini.
“Kalau ada kelemahan dari sudut akta yang saya difahamkan bauksit tidak termasuk dalam akta tertentu, maka kerajaan lakukanlah pindaan kepada peruntukan berkaitan. Segala kelemahan perlu berlaku penambahbaikan termasuk dalam aspek perundangan.
“Teliti sama keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan. Kalau semua kaedah yang menjurus kepada tindakan dan langkah yang munasabah itu dititikberatkan, bagi Anak, rungutan dan kebimbangan penduduk tempatan tidak berlaku,” jelasnya.
Dari lesen boleh kuatkuasakan peraturan, jana pendapatan kerajaan
Mazlan juga menimbulkan persoalan sejauh mana mekanisme perlesenan diurus oleh pihak berwajib memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu mendedahkan wujudnya elemen rasuah yang membawa kepada situasi tidak terkawal aktiviti bauksit di Kuantan sekaligus menyukarkan penguatkuasaan dan menjejaskan sumber pendapatan kepada kerajaan.
“Dalam fasa moratorium ini, apa kerajaan sedang dan akan buat daripada banyak kelemahan yang kita sedia maklum. Kita persoalkan secara umum, adakah benar banyaknya pelombong haram? Mengapa mereka ini tidak dilesenkan?
“Kalau mereka dilesenkan mengikut syarat ditetapkan tentu SOP berkaitan dapat dikuatkuasakan sekaligus mana pelombong atau pengusaha yang ingkar boleh dikenakan tindakan. Kerajaan negeri juga tidaklah hilang pendapatan begitu sahaja akibat operasi bauksit secara haram,” ujarnya.
Sehubungan itu, Anak katanya, sekali lagi akan turun padang ke kawasan Felda terbabit bagi menemui dan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi
mencari penyelesaian yang tidak merugikan peneroka.
“Ketika Anak mengakui aspek kesihatan dan keselamatan penduduk serta lemahnya penguatkuasaan tetapi kita tidak harus menolak faedah industri bauksit ini kepada penduduk setempat khususnya peneroka.
“Anak yakin kalau dibangunkan dengan cara betul, industri bauksit boleh menjadi alternatif kepada sumber pendapatan rakyat. Kita perlu melihat dalam konteks lebih besar. Jangan disebabkan timbul masalah, kita lari daripada menangani isu sebenar hingga menutup rezeki rakyat,” tambah Mazlan lagi.