Bauksit : MB Pahang perlu gantung lesen pengeksportan

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan negeri perlu mengantung lesen pengeksportan  dan hentikan aktiviti perlombongan  bauksit bagi mengurangkan  kesan alam sekitar yang lebih buruk.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mendesak kerajaan negeri segera mengambil keputusan untuk mengantung lesen pengeksportan bagi menangani isu pencemaran alam sekitar dan kesihatan masyarakat setempat kesan daripada aktiviti yang tidak terkawal di tapak perlombongan bauksit di negeri itu.

Fuziah berkata, jika kerajaan negeri menyedari kesejahteraan dan kebajikan rakyat perlu dimanfaatkan berbanding manfaat ekonomi, usahlah berdolak dalik membuat keputusan segera menghentikan lesen pengeksportan.

Beliau mengulas kenyataan rasmi  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob  semalam, memaklumkan  kerajaan negeri telah  mengadakan  empat kali pertemuan dengan pengusaha dan kontraktor untuk menasihati mereka mengambil kira pandangan rakyat kesan daripada perlombongan yang tidak terkawal di lakukan,sebaliknya  usaha dilakukan kerajaan negeri itu tidak membuahkan hasil.

Fuziah berkata, sekiranya tiada penyelesaian secara optimum dapat di capai oleh kerajaan negeri, dengan pihak terbabit yang dipertanggungjawabkan, sewajarnya digantung lesen pengeksportan bauksit.

“Hanya empat perkara yang perlu difikirkan oleh MB iaitu pengantungan lesan, mengawal, penguatkuasaan dan merehabilitasi isu berkaitan bauksit ini.

“Sekali lagi saya gesa MB setuju dengan kerajaan pusat untuk umumkan moratarium iaitu hentikan kerja sehingga dapat dipastikan semua aktiviti dalam kawalan semaksima mungkin.

“Sementara kerajaan negeri memperbaiki undang-undang sedia ada dan baiki semua kerosakan, pastikan tidak ada ruang terbuka yang menyebabkan lumpur memasuki ke dalam sungai dan laut,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Terkini Fuziah merujuk satu kajian yang dibuat oleh Universiti Teknologi Malaysia yang telah mengambil sampel air di tiga loji penyimpanan air di Bukit Goh , loji Bukit Sagu dan loji Semambu membabitkan Sungai Kuantan, Sungai Batu/Sungai Rong dan Sungai Riau.

Manakala dalam laporan Jabatan Air Selangor (JAS) menunjukkan air sungai di kawasan mata sauk untuk ketiga-tiga loji rawatan air itu mengandungi mercury yang tinggi.

“Loji rawatan air yang diambil sample dipilih kerana terdapatnya aktiviti melombong bauksit atau membersihkan bauksit di kawasan hiliran.

“Laporan itu menunjukkan di loji Semambu terdapat kandungan lead manakala di loji Bukit Goh dan Bukit Sagu terdapat kandungan aluminium. Kandungan logam berat yang tinggi akan memberi kesan kepada kesihatan pengguna,” ujarnya.

Sampel  air sungai diambil mengandungi kandungan logam berat seperti mercury ,lead dan aluminium menjejaskan kesihatan.Dalam penemuan sample air yang dibuat ujikaji mendapati persampelan yang dilakukan oleh JAS terutama bagi merkuri (Hg) di Sungai Riau, di mana pengambilan sample di loji rawatan Bukit Goh pada tahap 0.0093 mg / L kepekatan merkuri adalah 9 kali lebih tinggi daripada tahap yang disyorkan untuk air mentah.

Sambung Fuziah lagi, pernah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk menghentikan lesen pengeksportan bauksit, bagi menyekat permintaan dan secara automatik akan menghentikan ‘supply chain’.

“Kerajaan persekutuan, telah menyetujui cadangan ini malangnya kerajaan negeri sebagai pihak yang meluluskan lesen pengeksportan memberi pelbagai alasan,” ujar Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat ini.