Bawa 3 biji telur ke Dewan Rakyat, Presiden MCA dikirim surat saman

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak menyangka dirinya bakal disaman akibat membawa tiga biji telur ke Dewan Rakyat.

Ka Siong tertanya-tanya mengapa pengimport telur dari India bertindak menfailkan saman atas perbahasannya pada 22 Februari lalu.

Baru-baru ini, Presiden MCA itu mencuri perhatian ramai dengan membawa telur ketika membangkitkan isu bekalan makanan itu.

Beliau mendakwa, walaupun lebih mahal, telur ayam yang diimport dari negara India mempunyai saiz yang lebih kecil daripada telur tempatan.

Ka Siong berkata sedemikian sewaktu mencelah perbahasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India, itu yang saya tak faham.

“Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini. Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat kepada saya,” katanya.

Wee Ka Siong memaklumkan tentang perihal surat saman berkenaan pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.

Tambahnya, beliau tidak pernah mengaitkan mana-mana syarikat atau individu dalam perbahasan berkenaan.

Baca juga: Gaya Syed Saddiq ‘live stream’ ketika berbahas di Dewan Rakyat tarik perhatian