Perkasa mempersoalkan langkah kerajaan membawa 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini dan membangkitkan tuduhan umum bahawa ia dibuat bagi mendapatkan keuntungan segera di kalangan orang politik.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini dalam tempoh tiga tahun mengejutkan rakyat.
“Sudah pasti rasionalnya adalah Malaysia kekurangan pekerja dan dari aspek pembangunan serta ekonomi. Wajar atau tidak, isu membawa masuk 1.5 juta Bangladesh boleh didebat tujuh hari tujuh malam.
“Tuduhan pertama ada pihak nak buat duit secara kilat dan tidak sedikit kerana komisyennya yang lumayan. Ada yang mengatakan “perniagaan hamba abdi”. Kuotanya diagih-agih kepada penyokong politik yang terdekat dengan pembuat keputusan,” tegasnya.
Beliau mempersoalkan kewajaran membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh dan menyifatkannya sebagai “forward selling” kuota saperti menjual kawasan balak yang belum ditanam.
“Kesan keselamatan dan berbagai implikasi pasti timbul dan cuba bayangkan dengan jumlah yang sudah sedia ada dalam negara sama ada yang datang cara halal atau haram.
“Kes jenayah tidak sedikit sudah berlaku sebelum ini. Industri memang cenderung ambil pekerja asing kerana gaji murah. Malah dari hotel sehingga warung ambil pekerja asing,” tambahnya.
Beliau turut mempersoalkan pekerja asing yang tidak tahu berbahasa kebangsaan dan kesannya kepada kadar pengangguran di negara ini.
Sehubungan itu, ujar beliau Perkasa menggesa kerajaan menangguhkan keputusan membawa masuk pekerja Bangladesh sebelum kajian dan maklum balas dari semua pihak dibuat.
“Mungkin kertas dasar sudah disediakan, tapi sudah diolah untuk kelulusan. Ini perkara besar yang boleh memberi impak kepada negara pada masa akan datang.
“Jangan hanya mendengar kehendak atau pendapat pihak industri sahaja. Rakyat biasa juga berhak memberi pendapat atau membantah. Semuanya dilihat dari segi ekonomi semata mata,” katanya.
Beliau juga menuntut hasil proses pemutihan pekerja asing empat tahun lalu membabitkan jutaan pekerja asing yang tinggal lebih masa dan tiada permit kerja didedahkan.
“Apakah kempen tersebut berjalan dengan baik atau sebaliknya? Kalau berjalan baik maknanya sudah ramai diputihkan dan diberi permit kerja dan pastinya mencukupi.
“Jika tidak berjalan dengan baik, ke mana mereka sekarang. Pastinya masih ada dalam negara ini lagi. Mengapa tidak teruskan program pemutihan seperti itu dengan penambahbaikan proses bagi memudahkan mereka mengikuti proram itu,” soal beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam menegaskan tiada angka mutlak bagi kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini kerana ia bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat.
Jumlah kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini juga akan dinilai berdasarkan kelayakan serta kemampuan setiap majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan, kenyataan KDN dilapor Bernama.