Bawa van sekolah lawan arus, warga emas ditahan, akui tengah pening masa memandu

Oleh MALAYSIADATELINE

Semakin banyak kesalahan lalu lintas melibatkan warga emas, meskipun tidak terlibat dengan kemalangan pastinya ia boleh menjadi satu masalah jika berlaku.

Tular satu rakaman video berdurasi satu minit 13 saat yang menunjukkan sebuah van sekolah dipandu secara melawan arus di Lingkaran Luar Butterworth (BORR).

Bagaimanapun tiada penumpang atau pelajar sekolah dalam van berkenaan semasa pemandu ditahan peronda polis yang melalui kawasan tersebut.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar tengah hari itu, lelaki berusia 70 itu dikatakan memandu dari arah Jalan Bagan Lalang menuju ke Jalan Raja Uda lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman memaklumkan pemandu mendakwa dirinya berasa pening.

“Dia kemudian tanpa sedar meneruskan perjalanan secara melawan arus di BORR sehinggalah ditahan polis di Kilometer (KM) berhampiran Kampung Teluk, Sungai Dua.

“Tiada sebarang kemalangan atau kecederaan akibat perbuatan pemandu van ini.

“Pemandu van kemudian ditangkap dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Trafik untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga: Bekas Senator dan Ahli Parlimen tiada hak tuntut kenaikan pencen – Mahkamah Persekutuan