Bayar RM33 untuk rasa tenang? Pelukan ‘man mums’ jadi pilihan wanita muda China

Oleh MALAYSIADATELINE

Di zaman serba moden ini, pelbagai pekerjaan luar biasa muncul, dan lebih mengejutkan, ada yang sanggup bayar mahal untuk servis yang tak pernah terfikir dek akal.

Antaranya, pelukan lima minit berbayar yang kini jadi kegilaan wanita muda di China, sanggup labur hingga 50 yuan (kira-kira RM33) hanya untuk rasa tenang dan selamat lapor South China Morning Post (SCMP).

Pelukan lima minit ini bukan sekadar sentuhan fizikal, tetapi dikatakan mampu melegakan tekanan emosi, terutamanya apabila datang daripada lelaki yang dikenali sebagai ‘man mums’.

Fenomena ‘man mums’ kini menjadi trend hangat di media sosial China dan pada asalnya, istilah itu merujuk kepada lelaki berotot yang rajin ke gim, namun kini definisinya lebih luas.

‘Man mums’ ialah lelaki yang bukan sahaja memiliki tubuh sasa, tetapi juga bersifat lembut, penyabar dan penyayang, seolah-olah membawa sifat keibuan dalam figura maskulin.

Ciri-ciri inilah yang menjadikan mereka pilihan wanita muda yang mencari pelukan penuh empati dan rasa selamat.

Salah seorang pelajar memaklumkan dia mengambil khidmat ‘man mums’ untuk memeluknya bagi mengurangkan tekanan menyiapkan tesis.

“Saya pernah dipeluk semasa sekolah menengah dan terasa sangat selamat. Kita boleh berpeluk lima minit di stesen bawah tanah,” tulisnya.

Kebanyakan sesi pelukan ini berlaku di tempat awam seperti stesen bawah tanah atau pusat beli-belah, dengan harga antara 20 hingga 50 yuan (RM13 hingga RM33).

Salah seorang yang menawarkan khdimat ‘man mums’, Zhou percaya kerjanya itu dapat membantu orang lain.

Jelasnya, ramai pelanggan berdepan kebimbangan terhadap penampilan diri atau tekanan kerja.

Sehingga April lalu, Zhou telah memberikan 34 pelukan dan memperoleh sebanyak 1,758 yuan (kira-kira RM1,170).

Zhou sentiasa memastikan dirinya tampil kemas dengan solekan, minyak wangi dan gaya rambut tersusun bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan.

Namun, Zhou menegaskan dia tidak berniat untuk menjadikan pelukan sebagai sumber pendapatan tetap.

Caj yang dikenakan adalah untuk mengekalkan jarak emosi antara dirinya dan pelanggan.

Malah ada wanita yang menyatakan bahawa mereka lebih rasa selamat apabila membayar untuk pelukan, ini bagi mengelakkan sebarang isu batasan atau gangguan yang tidak diingini.

Baca juga: Tong gas bersubsidi: Keputusan Kabinet lambang keperihatinan Kerajaan Madani