Tidak semua berkemampuan untuk buat umrah di Tanah Suci Makkah lebih dari sekali namun pengalaman pertama itulah yang seharusnya tersemat di hati.
Tapi apa daya, rasa teruja hilang apabila agensi umrah dengan sewenangnya memberikan kediaman yang tidak selesa meskipun sudah dibayar mahal untuk khidmat mereka.
Menurut Berita Harian, para jemaah berkongsi kekecewaan selepas mendakwa ‘ditipu’ agensi umrah yang menawarkan perkhidmatan ‘indah khabar dari rupa’.
Lebih menyedihkan para jemaah ini ditempatkan di kawasan rumah tumpangan yang diduduki pekerja warga asing dengan persekitaran terlampau kotor ketika berada di Madinah.
Salah seorang jemaah dikenali sebagai Muhammad memaklumkan dia dan tujuh ahli keluarga lain membayar pakej ini sebanyak RM8,000 seorang.
“Rombongan kami ada 39 jemaah dan terbang untuk menunaikan umrah pada 16 Januari lalu. Di Makkah, keadaan baik sahaja tetapi sampai di Madinah, kami rasa tertipu kerana tak dapat hotel sebagaimana dijanjikan.
“Kami sekeluarga terpaksa duduk bercampur lelaki dan perempuan dalam satu bilik. Lebih mengecewakan kami diberi rumah tumpangan yang diduduki pekerja Bangladesh dan Pakistan.
“Satu bilik disumbat tujuh hingga lapan orang, sudahlah keadaan sangat kotor, tandas pun di luar bilik, bau hancing pula merata-rata,” katanya seperti dipetik BH.
Keluar duit sendiri ambil bilik hotel lebih selesa
Manakala jemaah lain dikenali sebagai Nurul memaklumkan dia membayar pakej umrah bersama majikan dan seorang lagi kakitangan bernilai lebih RM45,000.
Lebih menyedihkan mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk tinggal di hotel lain dek kerana tidak selesa akan situasi namun pihak agensi hanya meminta mereka reda sahaja.
“Kos perbelanjaan jadi tinggi sebab kami bertiga perlu bayar sendiri kos hotel selama enam hari di Madinah sekitar lebih RM1,000.
“Kami pilih untuk bayar sendiri hotel lain kerana keadaan di rumah tumpangan terbabit sangat tak selesa, agak padat, apatah lagi saya sendiri lihat keadaan keluarga yang ada anak kecil dan ibu bapa kurang sihat yang berhimpit-himpit dalam satu bilik.
“Agensi umrah hanya hantar mesej mohon kami reda kerana musim puncak seperti ini, keadaan sukar dijangka dan boleh berlaku perpindahan hotel, tetapi mereka tak tampil pun untuk jelaskan hal sebenar.
“Lebih membuatkan kami marah kerana dapat tahu bos besar agensi umrah terbabit ada di Madinah, namun tak langsung datang untuk dengar atau selesaikan masalah kami,” ujarnya.
Agensi umrah memakumkan bahawa situasi itu adalah biasa kerana ia berada dalam musim puncak menjadikan permintaan hotel melebihi penawaran.
Malah ada pihak hotel yang didakwa membatalkan tempahan lain kerana ada pihak yang sanggup bayar harga lebih tinggi.
Baca juga: Pemilik rugi lebih RM33,000, menyesal sewa rumah kepada ‘TikTokers’ warga emas ini