Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) selesai memproses bayaran balik cukai sebanyak RM17 bilion melibatkan 7,819 kes setakat ini.
Menurut kenyataan media LHDN, bayaran balik tersebut adalah susulan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mempercepatkan penyelesaian lebihan cukai tertunggak.
Sehingga 18 Disember 2025, LHDN telah memproses bayaran balik cukai berjumlah keseluruhan RM17 bilion melibatkan 3,529,748 kes.
Perincian menunjukkan RM15 bilion telah diproses bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember 2025 melibatkan 3,521,929 kes.
Manakala tambahan RM1 bilion bagi tempoh 9 hingga 15 Disember melibatkan 6,480 kes, dan satu lagi tambahan RM1 bilion bagi tempoh 16 hingga 18 Disember melibatkan 1,339 kes.
LHDN menjelaskan, daripada keseluruhan peruntukan tambahan RM4 bilion, sebanyak RM2 bilion telah berjaya disalurkan dalam tempoh 9 hingga 18 Disember 2025.
Baki RM2 bilion lagi dijangka akan diproses dan diselesaikan sebelum akhir Disember ini.
Dana tambahan RM1 bilion pertama digunakan untuk menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga tahun tanpa mengambil kira jumlah terlibat.
Sementara itu, RM1 bilion berikutnya memberi keutamaan kepada bayaran balik berusia dua tahun ke atas, dengan tumpuan khusus kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Dalam pada itu, LHDN menasihatkan pembayar cukai agar memastikan maklumat akaun bank yang dikemas kini dan tepat bagi melancarkan proses bayaran balik.
Jelas LHDN, terdapat kes yang tidak dapat diproses akibat kesilapan maklumat, pertikaian mahkamah, tunggakan bagi tahun taksiran lain atau syarikat yang telah digulungkan.
LHDN menegaskan komitmen untuk terus menyelesaikan bayaran balik secara berperingkat dan teratur, dengan keutamaan diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS.
Baca juga: IMF puji ekonomi Malaysia kental, sifatkan prestasi kukuh kerana dasar mantap dan kewangan berhemat