Pengubahan wang haram: Bekas Exco Johor, anak lelaki dan perunding hartanah diarah bela diri

Oleh ARIF ATAN

Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini memerintahkan bekas Exco Kerajaan Johor, Datuk Abd Latif Bandi membela diri terhadap 33 pertuduhan rasuah dan empat dakwaan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM30 juta, pada 2017.

Arahan bela diri atas pertuduhan sama itu turut membabitkan anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, selain mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan masing-masing RM800,000 kepada Abd Latif dan Amir Shariffuddin manakala Ahmad Fauzan RM300,000 dengan masing-masing dua penjamin.

Sebutan semula kes akan dibuat di Mahkamah Sesyen (Rasuah) Johor Bahru, jam 11 pagi, pada 14 November ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing menghadapi empat pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram dan didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin juga masing-masing menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009.