Bekas Pengerusi Amanah Kedah kekal bersama PH, kini ahli PKR

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti Datuk Zamri Yusuf dipilih sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baharu berkuat kuasa 1 Feb lepas bagi menggantikan Datuk Johari Abdul yang mengosongkan kerusi DUN Gurun Disember lepas.

Pelantikan wakil rakyat daripada PKR itu diumum Speaker DUN Kedah Datuk Juhari Bulat sebelum sesi pertanyaan lisan pada Persidangan DUN Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Juhari turut memaklumkan bahawa kerusi DUN Gurun akan kekal kosong sehingga habis penggal ini.

Pada 18 Dis lepas, Johari mengumumkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Gurun berkuat kuasa serta-merta dan memberitahu telah mengutuskan sepucuk surat kepada Speaker DUN Kedah dan surat itu sah diterima bertarikh 13 Dis 2022.

Dalam pada itu, Juhari juga mengumumkan bahawa bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah yang juga ADUN Alor Mengkudu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi yang sebelum ini dipecat partinya kini menjadi ADUN Pakatan Harapan (PH) iaitu ahli PKR.

— BERNAMA

Baca Artikel Penuh