Belanjawan 2023 perlu utamakan langkah ke arah tangani rasuah, kata Mujahid

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berpandangan bahawa Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan kelak perlu mengutamakan tindakan ke arah menangani rasuah.

Ini katanya boleh dilakukan melalui kaedah memisahkan Pejabat Pendakwaan dengan Pejabat Peguam Negara bagi menjamin kebebasan dan kuasa pihak Peguam Negara.

Belanjawan juga perlu ada perubahan struktural bagi mengatasi rasuah yang berlaku secara sistemik, katanya.

Antaranya adalah reformasi penganugerahan kontrak yang perlu dibuat secara terbuka dan pengukuhan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya lebih proaktif dalam melihat perjanjian kontrak supaya tidak merugikan duit negara.

“Kita mula menempah kegagalan apabila skandal 1MDB dan kasus rasuah melibatkan pemimpin tertinggi negara. Jika Bajet 2023 tidak membuat pemunggaran semula polisi lama dan menggantikannya dengan pengukuhan maruah dan martabat, kita hampir pasti sampai ke status negara gagal.

“Bajet 2023 perlu merombak cara negara membangunkan ekonomi dan keperluan memulangkan kekayaan negara kepada rakyat dengan cara bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan rasmi dari Pusat Media Harapan hari ini.

Pada masa sama, Naib Presiden AMANAH itu juga mengingatkan bahawa disebabkan rasuah, jurang kekayaan antara rakyat semakin melebar.

Kelompok terbawah yang sepatutnya diperjuangkan hak asasinya untuk meneruskan hidup juga diabaikan secara sistemik sehingga berpotensi melahirkan huru-hara sosial yang tidak berkesudahan.

Tambahnya lagi, bajet bukanlah upacara untuk menggula-gulakan rakyat.

“Amalan rasuah yang sistemik telah mengakibatkan ketirisan yang sepatutnya dibelanjakan kepada pendidikan formal dan pembangunan sumber manusia yang sifatnya berkekalan untuk menfaat generasi seterusnya.

“Ketirisan kerana rasuah hari ini turut menjejaskan peruntukan perlindungan sosial untuk menangani kejutan pasca pandemik bagi menjamin asas kehidupan dalam kalangan masyarakat tertindas,” katanya

Sementara itu Mujahid berpendapat, model pelaburan berpandukan kerangka ESG (environmental, social & governance) perlu dimulakan atas tapak perundangan yang kuat, telus dan bertanggungjawab.

Pertumbuhan masa depan negara perlu dibina atas 3 kriteria penumbuhan iaitu Pertumbuhan Pintar, Pertumbuhan Mampan dan Pertumbuhan Inklusif.

“Bajet perlu menterjemahkan 3 kriteria ini jika negara mahu menguasai medan baru yang semakin mendesak ke arah sifar pelepasan karbon mengakibatkan kesan rumah hijau yang merupakan penyumbang terbesar kepada perubahan iklim.

“Cara dan kaedah pembangunan negara perlu berpindah kepada keseluruhan konsep SDG (Sustainable Development Growth).

*Adalah peluang terbaik pemindahan kerangka ini dimulakan dengan langkah sifar rasuah supaya masa depan model pertumbuhan dapat menangani isu integriti bagi memacu pertumbuhan baru negara,” ujarnya lagi.

Baca juga: Melayu mesti keluar mengundi, tidak mengundi sama seperti pilih penyamun dan perasuah

Baca juga: Bubar Parlimen: Istana Negara nafi PM dijadual menghadap Agong hari ini