Beli kereta mahal tapi tak ‘renew’ roadtax, porsche milik pelakon wanita disita dalam Op Luxury!

Oleh MALAYSIADATELINE

Ramai individu memilih untuk membeli kenderaan mewah sebagai cara untuk menonjolkan kejayaan dan kemewahan hidup mereka.

Dalam era media sosial, memiliki kereta berjenama mewah bukan sahaja memenuhi keinginan peribadi, malah menjadi alat untuk menarik perhatian dan membina imej eksklusif.

Dalam Op Luxury, kenderaan sukan mewah jenis Porsche milik seorang selebriti antara 101 kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) lapor Harian Metro.

Penyitaan kereta milik pelakon dan usahawan wanita itu dilakukan selepas didapati melakukan kesalahan cukai jalan dan insurans tamat tempoh.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi bersepadu bermula sejak awal bulan ini dilakukan hasil aduan awam dan risikan.

Ini adalah berhubung pemilikan serta penggunaan kenderaan mewah yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Bertindak atas risikan, pasukan menjalankan siasatan dan mengesan kenderaan yang terbabit untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 101 kenderaan terdiri daripada Ferrari, Rolls Royce, Bentley, Porsche Cayenne, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Vellfire dan Mercedes Benz disita atas pelbagai kesalahan.

“Kesemua kenderaan terbabit didapati melakukan kesalahan tamat cukai jalan dan tiada perlindungan insurans sah, selain kesalahan lesen memandu tamat tempoh,

“Kesalahan lain adalah mempamerkan nombor kenderaan lain, nombor casis tidak sepadan serta menggunakan nombor pendaftaran trade,” katanya sperti dipetik Harian Metro.

Tegasnya, semua kenderaan itu kini disita di Depoh Simpanan JPJ untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan lain yang berkaitan.

Baca juga: Kesilapan grafik KPN: PMO bertegas kebebasan media perlu diiringi tanggungjawab