Pelakon dan penyanyi popular, Bella Astillah menyifatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sebagai seorang individu yang baik hati serta mempunyai ciri-ciri lelaki ‘green-flag’.
Perkara itu diakui oleh Bella selepas abang kepada Syed Saddiq yang dikenali sebagai Space Dollah bertanyakan mengenai perasaan wanita terbabit sepanjang berkawan dengan adiknya.
Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabella Astillah juga tanpa berselindung mengakui dirinya berada dalam fasa bahagia sepanjang menjalinkan persahabatan erat dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Wanita berusia 31 tahun terbabit turut menganggap keperibadian pemilik nama sebenar Syed Saddiq Syed Abd Rahman itu tidak jauh berbeza malah seperti cerminan dirinya sendiri dalam bentuk lelaki.
“Saya rasa bahagia mengenali Syed Saddiq. Dia seorang lelaki green-flag dan baik hati. Saya rasa apabila jumpa YB Syed Saddiq, seperti menemukan lelaki dalam versi Bella Astillah,” katanya dalam satu rakaman berdurasi 31 saat.
Rakaman dikongsikan di platform TikTok tersebut adalah sedutan sesi audio siar ataupun ‘podcast’ anjuran produk kesihatan dan kecantikan, Kitsui yang turut dihadiri oleh adik Bella iaitu penyanyi, Didi Astillah.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 116,500 tontonan dan 6,516 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya turut tumpang gembira dengan hubungan mereka berdua.
Ramai pengguna juga berkongsikan harapan mereka dan mengirimkan doa supaya persahabatan mereka berakhir di dalam satu ikatan yang halal sebagai pasangan suami isteri suatu hari nanti.
Sekadar info, Bella dan Syed Saddiq belum memberikan sebarang pengesahan tentang status hubungan sebenar namun kemesraan yang ditonjolkan telah membuatkan peminat melihat mereka sebagai pasangan kekasih.
Baca juga: Halang laluan di lebuh raya hingga sebabkan kesesakan lalu lintas, 2 penarik kereta serah diri