Hampir 20 tahun melayari bahtera perkahwinan, penyanyi dan pelakon, Mark Adam masih belum dikurniakan rezeki untuk memiliki anak.
Meskipun masih menyimpan harapan agar dapat menimang cahaya mata, Mark dan isteri bagaimanapun reda dengan ketentuan yang maha Esa.
Pemilik nama sebenar Fikri Mark Adam Abdullah itu juga mengakui bahawa kasih sayangnya terhadap isteri langsung tidak berkurang sehingga kini.
Malah Mark percaya, rumah tangga yang mula dibina pada tahun 2003 itu masih akan kekal kukuh walaupun tanpa kehadiran cahaya mata, lapor Mstar.
“Kami masih berharap namun tetap bersabar menunggu kerana rezeki dan masa yang tepat untuk dikurniakan anak itu Allah yang tentukan.
“Dalam waktu itu (menanti kehadiran cahaya mata) janganlah pula kita tertekan atau membuatkan pasangan kita berbalah mengenai isu anak.
“Masa bernikah dengan isteri, saya sudah berjanji di depan masjid dan hadapan tuhan untuk jaga dia. Saya pegang perjanjian itu,” katanya memetik Mstar.
Sering menerima soalan mengenai hal zuriat, lelaki yang berusia 44 tahun itu mencuba untuk melihat perkara tersebut dari sisi positif.
Mark berkata, selagi komen yang ditinggalkan ‘netizen’ itu tidak berlebihan, dia akan berusaha untuk menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Walaupun isu zuriat ini sering diperkatakan tapi saya dan isteri jadi lebih rapat malah segala komen itu saya ambil ia sebagai perkara positif.” Ulasnya.
Anak kelahiran Filipina itu turut bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan moral yang tiada henti daripada keluarganya dan juga mentua.
Untuk rekod, Mark menamatkan zaman bujang pada tahun 2003 bersama pengurusnya sendiri yang dikenali sebagai Nor Azah Redzuan.
Baca juga: “Dia wanita sejak lahir!”, Tunang Lucinta Luna mengamuk wartawan tanya jantina Lucinta