Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mengingatkan Umno Bahagian dan ahli akar umbi bakal dikenakan tindakan kerana menunjukkan protes dengan mengantung bendera BN terbalik.
Beliau mengesahkan menerima maklumat diviralkan di media sosial berkaitan bendera BN dipasang terbalik.
Beliau tidak menafikan tindakan protes itu dilakukan membabitkan beberapa Umno Bahagian yang tidak senang dengan pelantikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 4 Februari lalu.
“Saya percaya tindakan protes di satu-satu kawasan itu mungkin berlaku tapi belum dapat gambaran sah daripada Umno Bahagian berkenaan.
“Kita tidak mahu ambil tindakan drastik, sebaliknya minta Umno Bahagian salurkan maklumat berkaitan untuk memudahkan kita mengambil tindakan,” katanya dipetik Sinarharian.
Jelasnya, perbezaan pendapat antara sesama individu dan pemimpin adalah perkara biasa, namun tindakan menggantungkan bendera parti dalam keadaan terbalik adalah keterlaluan.
“Bermacam kemungkinan boleh berlaku termasuk sabotaj daripada pihak luar.Bagaimanapun, setiap Umno Bahagian tahu apa tindakan yang harus mereka lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) Zainal Abidin Muhamad ketika dihubungi mengesahkan insiden bendera BN digantung dalam keadaan terbalik, baru-baru ini.
“Kita ada menerima aduan berhubung kejadian bendera parti digantung terbalik di beberapa lokasi sekitar Jerlun. Tapi antara lokasi yang kita dapat kesan adalah di Padang Perahu.
“Pihak Penguatkuasa MDKP juga telah diarah menurunkan semua bendera tersebut pada hari berkenaan dengan segera,” katanya.
Difahamkan, tindakan protes itu dibuat sebagai tanda penolakan akar umbi terhadap pelantikan Ahmad Bashah sebagai menteri besar baharu.
Perbuatan itu mula diviralkan di laman sosial sejak 7 Februari lalu melibatkan beberapa lokasi di sekitar Jerlun, Jerai, Kubang Pasu dan Bandar Baharu.
Sekitar jalan utama Sungai Petani, Jerai, Guar Chempedak, Alor Setar, Jerlun dan Kubang Pasu mendapati tiada bendera BN yang kelihatan dipasang terbalik.
Malah pemerhatian di Wisma Umno Jerlun dan Pusat Khidmat Dun Ayer Hitam juga tidak memasang bendera BN mahupun Umno.
Hanya di Pusat Khidmat Dun Bakar Bata, Wisma Umno Jerai dan Wisma Umno Kubang Pasu sahaja yang kelihatan memasang bendera parti di pintu masuk bangunan berkenaan.