Ketika ramai yang teruja menunggu penuh debaran debat antara Ustaz Zamihan Mat Zian dan Prof. Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin 17 Februari ini, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof ada soalan yang perlu direnung; berbaloikah debat itu?
“Pada mulanya saya tidak berminat untuk memberi pandangan kerana menganggap ini suasana keterbukaan ilmu yang saya perjuangkan selama ini, namun setelah melihat beberapa situasi dalam polemik ini saya berasa terpanggil untuk memberi posisi saya kepada perkembangan debat Zamihan lawan Asri,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Bagi Dr Mujahid, Zamihan dan Dr Asri perlu bertanya dengan jujur apakah hasil perdebatan itu membawa sesuatu yang produktif kepada suasana menyeluruh umat Islam hari ini dari sudut sosial, ekonomi dan politik khususnya di Malaysia?
“Bukankah lebih utama didebatkan kebejatan kepimpinan negara dari kalangan orang Islam yang terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilon ringgit serta tadbir urus kewangan yang culas dan curang lantas mengkhianati amanah umat?” katanya.
Dr Mujahid juga inginkan kepastian sama ada mereka mempunyai jawapan kepada perdebatan ilmu teologi yang tidak ditemui penyelesaiannya oleh ulama silam.
“Ia bukan masalah mencari jawapan hitam-putih kepada cabangan masalah yang timbul tetapi melihat ia adalah perbezaan pandangan dalam lingkungan disiplin ilmu yang tidak boleh kita labelkan sebagai sesat atau menyeleweng.
“Jadi apa gunanya berdebat pada isu cabang yang sememangnya secara lumrahnya pasti akan terdedah kepada pelbagai perspektif dan penilaian sedangkan sejak dari mula lagi ia dizinkan oleh syariat kita,” tegas beliau.
Dr Mujahid juga khuatir dengan niat sesetengah pihak yang akan menghantar mesej yang silap apabila berusaha untuk memaksa hanya satu pandangan sahaja ke atas umat seperti mana yang pernah berlaku dalam sejarah Islam sehingga membawa kepada kejumudan dan pembekuan perkembangan intelektual.
Jika ini wujud, beliau yakin umat Islam Malaysia khususnya akan mengalami zaman kejumudan yang tidak sepatutnya berlaku.
Beliau berpendapat tujuan debat untuk menang dalam perkara yang pada asalnya bukan keluar dari persoalan garis aqidah tidak akan membawa ke mana-mana.
“Menggunalan istilah ASWJ (Ahli Sunnah Wal Jamaah) untuk berlindung atas kebenaran adalah sesuatu yang dikesali kerana istilah ASWJ pada asalnya adalah pengkategorian utama kepada perincian permasalahan bagi membezakan antara pegangan Syiah dan lain-lain dengan fahaman asal ajaran Nabi Muhammad iaitu Sunnah, khususnya dalam bab Imamah dan kemudiannya berkembang kepada permasalahan aqidah dan fiqah.
“Ia bukan pengkategorian yang digunakan antara pandangan berbeza sesama ASWJ,” tegasnya.
Menurut beliau, walaupun suka kepada keterbukaan dan perbezaan pandangan, namun ada maslahat besar lain yang sepatutnya menjadi keutamaan para ulama hari ini termasuk Ustaz Zamihan dan Dr Asri.