Bercerai lagi, bukan perkara baru bagi Aishah

Oleh NASUHA RAHMAN

Rumah tangga penyanyi Datuk Aishah akhirnya telah disahkan berakhir setelah bekas suami melafazkan talak satu menerusi satu mesej menggunakan WhatsApp pada tarikh 25 Disember 2021 yang lalu.

Meskipun kembali hidup bersendirian, bagi Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu itu penceraian ini bukan perkara baru buatnya kerana beliau pernah melaluinya sebelum ini.

Ini kerana katanya dua anak lelakinya masih bersama sebagai sumber kekuatan dan hidupnya kini hanya untuk anak-anaknya.

“Ini bukan perkara baharu buat saya. Lagipun, saya pernah melalui pengalaman sama sebelum ini. Masa itu, anak-anak masih kecil lagi.

“Namun, saya akur dengan ketentuan takdir. Walau apapun yang berlaku, hidup harus diteruskan.

“Segala-galanya sudah selesai apabila saya diceraikan talak satu menerusi mesej pada 25 Disember lalu.

“Bohonglah, jika saya tidak bersedih dengan pengakhiran yang berlaku. Saya bukannya robot. Saya menangis sebaik sahaja membaca mesej yang dikirimkan,” ujar Aishah.

Katanya, beliau masih terbayang apabila terpaksa mengangkut anak-anak bersama ketika bekerja kerana tiada siapa dapat menjaga mereka.

“Sekarang, anak-anak sudah dewasa dan menjadi tempat untuk saya bergantung harap. Hidup saya kini hanyalah untuk anak-anak,” katanya.

Pada November lalu, Aishah mendedahkan sudah tidak lagi tinggal sebumbung dengan bekas suami selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.