Berhenti Askar Wataniah untuk jadi pelakon, tak sangka Ashraf Muslim kini terima tauliah pangkat Leftenan tentera

Oleh MAISARAH AISYA

Dikenali sebagai seorang pelakon, siapa sahaja menyangka Ashraf Muslim sebenarnya pernah memasuki Askar Wataniah.

Memilih untuk beri laluan kepada kerjaya seni sebelum ini, Ashraf akhirnya berjaya menyertainya semula.

Menurut Harian Metro, Ashraf sebelum ini sudah terbabit dalam ketenteraan sejak di universiti apabila menyertai Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

Kini dia ditauliahkan dengan pangkat Leftenan dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tentera Darat yang berlangsung pada Jumaat ini.

“Saya sebenarnya memasuki semula Askar Wataniah ini kerana dulu pernah aktif dalam Palapes ketika di universiti, namun berhenti sekejap kerana sibuk dalam kerier seni dengan aktiviti penggambaran.

“Tapi, sekarang saya sertai semula Askar Wataniah apabila menyedari semangat patriotik dalam diri saya yang sangat cintakan tanah air masih sangat menebal untuk berjuang dan berkorban demi negara.

“Sebelum ini saya pernah ditauliahkan pangkat Leftenan Muda dan sekarang dinaikkan satu pangkat lagi. Tapi, yang penting kemasukan saya ke dalam Askar Wataniah ini untuk memperkasakan lagi askar-askar rekrut.

“Jadi, mungkin dengan kehadiran saya dapat menarik minat ramai lagi dalam masyarakat di luar sana terutama anak muda untuk terbabit dengan ketenteraan sebagai askar simpanan yang terbuka kepada pelbagai kerjaya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tambahnya mana-mana individu berminat boleh menyertai Askar Wataniah jika berkhidmat bersama-sama kerajaan.

“Apabila kita menjadi pelapis sebagai askar simpanan, sekurang-kurangnya kita ada asas ketenteraan dan tahu apa nak buat jika berlaku sebarang ancaman terhadap negara.

“Walaupun askar simpanan, tapi tetap boleh dianggap askar juga sebab semua latihan yang dibuat masih lagi di bawah ketenteraan.

“Jadi, apa saja ilmu dan pengalaman yang saya ada akan disalurkan di sini,” katanya.

Baca juga: Zizan Razak buat kejutan hadiahkan ibu Mercedes GLC300, terkejut tahu harga macam sebiji rumah