Kisah penyokong setia Harimau Malaya yang digelar sebagai ‘Abang Rambut Perang’ telah berjaya mencuri hati ramai rakyat Malaysia baru-baru ini.
Mana tidaknya, pemilik nama sebenar Derrick Gan itu rela menjual motosikal miliknya demi menyaksikan penampilan skuad bola sepak negara dalam Piala Asia 2023 di Qatar.
Susulan tularnya kisah Abang Rambut Perang itu, seorang individu tampil berkongsi hasratnya untuk menyumbang motosikal baharu secara percuma kepada Derrick Gan.

Menawarkan model Honda RS150, individu dikenali sebagai Ahmad Alhafiz Najmi yang berkongsi hasratnya di laman Facebook itu adalah pemilik perniagaan motosikal.
Namun begitu, Derrick sebagai ‘tuan badan’ mengakui dirinya masih belum membuat keputusan berhubung tawaran yang dijangka bakal diserahkan pada Selasa depan.
Lelaki berusia 30 tahun itu bagaimanapun lebih selesa sekiranya tawaran motosikal baharu tersebut diserahkan kepada individu yang lebih memerlukan, lapor Kosmo.
“Saya rasa saya tidak akan terima (hadiah motosikal baharu). Sebabnya, kalau saya terima nampak macam orang jahatlah pula.
“Maybe is the best for (mungkin yang terbaik adalah untuk).. Saya sendiri juga belum pasti lagi sebab sekarang ini masih blur. Otak jammed orang kata, tak boleh fikir lurus lagi.
“Saya mungkin akan buat sesuatu (kalau terima motosikal), untuk beri kepada orang lain yang lebih memerlukan,” kata anak kelahiran Bandar Hilir, Melaka itu memetik laporan Kosmo.
Derrick atau Abang Rambut Perang mula dikenali selepas reaksinya yang menangis kegembiraan apabila skuad bola sepak negara berjaya menjaringkan gol, tular di media sosial.
Ketika kejadian, Derrick sedang menyaksikan perlawanan akhir Malaysia menentang Korea Selatan dalam Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Qatar pada Khamis lalu.