Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tampil menjelaskan isu kritikal membabitkan tiga bank Malaysia yang dilapor memberi pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong yang kini telah muflis.
Beliau berkata, pemberian pinjaman tanpa cagaran bukanlah perkara yang luar biasa dalam sektor perbankan.
Bahkan katanya, bank-bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.
Bagaimanapun menurutnya, keputusan untuk memberi pinjaman bukan ditentukan oleh menteri kewangan atau pemegang saham, tetapi sebaliknya diputuskan oleh bank-bank itu sendiri.
“Setiap bank mempunyai proses usaha wajar (due diligence) dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing, bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman mereka.
“Dari segi dasar, Bank Negara Malaysia telah menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi. Selagi bank-bank ini mematuhi garis panduan yang ditetapkan, mereka bebas untuk memberi pinjaman mengikut budi bicara mereka,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, tiga bank Malaysia iaitu Malayan Banking Berhad (Maybank), Kumpulan CIMB Berhad dan RHB Bank Berhad dinamakan sebagai antara pemberi pinjaman tidak bercagar utama Genting Hong Kong.
Ketiga-tiga bank tersebut dijangka mengalami kerugian berbilion ringgit ekoran Genting Hong Kong yang diisytihar muflis.
Media melaporkan, ketiga-tiga bank tersebut telah memberi pinjaman tanpa jaminan berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion).
Isu tersebut kemudian menarik perhatian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak penjelasan segera dari Zafrul.
Dalam pada itu Zafrul berkata, Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai pemegang saham, tidak terlibat mahupun masuk campur dalam urusan harian sesuatu syarikat.
Menurutnya, operasi harian bank diserahkan kepada pengurusan bank itu sendiri dan adalah tidak betul dari sudut tadbir urus jika menteri kewangan atau pemegang saham campur tangan di dalam urusan harian bank-bank di Malaysia.
“Harus diingat bahawa bukan sahaja bank tempatan yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong malah turut melibatkan bank-bank dari luar negara.
“Semua bank-bank ini juga perlu mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman.
“Adakah Datuk Seri ingin memberi gambaran bahawa semua bank-bank dari luar negara ini juga telah bertindak sembrono dalam memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong?,” soalnya.