Mahkamah perlu diberikan ruang untuk menjalankan fungsinya bagi menentukan titah adendun boleh dilaksanakan oleh kerajaan atau tidak, kata pakar perlembagaan.
Menurut Dr Zulqarnain Lukman, kes masih lagi di mahkamah dan masih belum ada keputusan.
Zulqarnain berkata demikian ketika mengulas keputusan yang mengesahkan adanya titah tambahan (adendum) dari yang Yang Dipertuan Agong berkaitan dengan Datuk Seri Najib Razak.
Namun, bagi Dr Zulqarnaian, walaupun adendum itu adalah titah diraja tetapi proses pembuatan adendum itu perlu disahkan oleh mahkamah kerana kuasa pengampunan telah dinyatakan secara terperinci di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Persoalannya adakah titah yang dibuat di luar mesyuarat itu masih mengikat kerajaan untuk dilaksanakan.
“Keduanya mahkamah juga akan melihat peruntukan undang-undang sedia ada sama ada mencukupi untuk kerajaan laksanakan tahanan rumah tersebut.
“Untuk masa ini kita perlu beri ruang kepada mahkamah,” kata beliau kepada Malaysia Dateline ketika mengulas isu ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghormati pandangan beberapa pihak yang mahu Titah Adendum terhadap Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan.
“Itu urusan mahkamah sekarang, tak ada masalah. Pandangan masing-masing kita hormati tapi kena ikut proses,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15, semalam.
Pada Jumaat, Umno memohon titah tahanan rumah ke atas Najib dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum berkenaan oleh Peguam Negara pada Khamis.