Beri sokongan pada Palestin, Scha Al Yahya tak bimbang kerjasama dengan jenama antarabangsa terjejas

Oleh MAISARAH AISYA

Banyak artis di Malaysia yang menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin selepas konflik peperangan yang sehingga kini masih aktif berlaku.

Ada yang secara terangan memberikan sokongan, ada juga yang dalam senyap memberi bantuan kewangan.

Buat pelakon dan model, Scha Al Yahya tidak takut jika kerjasama dengan jenama antarabangsa akan terjejas disebabkan dia menyatakan sokongan terhadap Palestin dalam media sosialnya.

Memetik OhBulan!, Scha keliru mengapa ada yang takut menyatakan sokongan terhadap Palestin sedangkan berada di Malaysia dengan agama rasminya adalah Islam.

“Saya faham itu adalah sensitif, tapi kita duduk di Malaysia dan agama kita sangat kuat. Pihak lain mungkin rasa tidak senang dengan kelantaran saya bercakap tentang Palestin, kalau mereka tidak selesa itu salah mereka.

“Kita duduk di negara Islam, kenapa perlu saya takut jika orang tak suka dengan tindakan saya. Saya juga memegang banyak brands, tapi bagaimana cara untuk bercakap dengan mereka. Kena tahu batas dan jangan terlalu kasar,” ujarnya seperti dipetik OhBulan!.

Walaupun aktif memuat naik isu Palestin, sehingga kini tiada pihak yang mengugutnya soal hantaran di media sosial.

“Saya tidak menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak apabila posting tentang Palestin, tapi memang ada yang kurang senang iaitu netizen. Mereka DM saya. Saya boleh kawal sendiri.

“Seseorang yang ada nama dan suara bercakap tentang isu ini memang mungkin ada yang pertikaikan, sebab pada saya itu juga bentuk pertolongan,” tambahnya.

Pada masa sama ibu kepada dua anak perempuan itu telah menolak secara baik sekiranya menerima undangan dari mana-mana jenama antarbangsa yang dikaitkan dengan Yahudi.

“Ada brands yang sensitif dengan isu ini dan mereka bagi saya bahan untuk posting sebab mereka ada jadual, tapi saya akan bercakap dengan mereka secara baik, saya tidak boleh buat posting itu. Saya juga kata pada mereka mungkin kita perlukan masa yang lebih sesuai.

“Apabila saya bercakap dengan mereka dan alhamdulillah pihak brands faham. Apa yang penting adalah perlu bijak.

“Saya perlu fikir kesan sekiranya saya posting. Ada undangan yang saya tolak secara baik untuk hadir ke majlis mereka. Jenama itu pula bukan tak sensitif tapi mereka hanya ikut jadual yang sudah ditetapkan. Sebagai talent jenama itu kena bijak,” katanya lagi.

Baca juga: Walaupun digilai ramai wanita, Nicholas Saputra tetap rasa diri tak menarik