Beribu rakyat mati dan hilang kerja, netizen persoal kenapa ada yang kasihan pada Mahiaddin

Oleh KIM SYAZIE

Di sosial media, kita boleh melihat sekumpulan besar netizen yang secara tiba-tiba menyatakan rasa sedih dan mahu mempertahankan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun ada sebahagiannya lagi menganggap suara rakyat akhirnya telah berjaya menggulingkan sebuah kerajaan yang jelas telah gagal menjaga mereka.

Tidak dinafikan ada yang mendakwa ianya merupakan kerja-kerja jabatan propaganda kerajaan yang cuba menaikkan naratif sedih untuk meraih semula sokongan rakyat Malaysia selepas Mahiaddin meletakkan jawatan.

Di Twitter, pengguna @aidi_ezzhar bertanya mengapa masih ada yang kasihan pada Mahiaddin.

Dia mempersoalkan sama ada rakyat Malaysia sudah lupa tentang ribuan anak muda yang menganggur dan kematian yang semakin meningkat disebabkan dasar kerajaan yang gagal.

“Ramai menangis kononnya sedih dia (Mahiaddin) letak jawatan. Sedih katanya. Orang ini semua lupa.

“Beribu orang mati, beribu orang hilang kerja, beribu orang sedang kesusahan. Hal ini disebabkan dasar kerajaan yang tidak menentu.

“Nak kesian ke Muhyidin yang gagal buat apa?,” soalnya.

Malah ada juga yang bersikap sinis mengatakan mereka yang kasihan pada Mahiaddin itu tidak memahami kesusahan yang dialami rakyat kebanyakan selama ini sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih.

“Aku syak yang meraung-raung masa Mahiaddin letak jawatan ini yang tak perlu keluar kerja, tak perlu kibar bendera putih, keluarga tak kena Covid-19, boleh jumpa keluarga macam biasa. Senang cerita tak terkesan pun dengan pandemik ini,” ciap @myaazmanz.

Tidak kurang juga yang menyatakan rasa hairan kerana selama #kerajaangagal dicetuskan, sememangnya tidak nampak peratusan besar yang mempertahankan kerajaan.

Malah, tanda pagar berkenaan juga ‘trending’ berkali-kali dengan setiap hari desakan untuk Mahiaddin meletakkan jawatan tersebar di media sosial.

Mereka juga menganggap masa untuk Ahli Parlimen Pagoh itu menyelamatkan negara dan membawa kes Covid-19 kepada angka sifar, sudah tamat.

“Pelik juga kadang netizen ini. Awal-awal haritu okay, lepastu marah gila, lepastu bila dah letak jawatan sedih pulak?,” tanya pengguna lain.

“Mahiaddin main naratif simpati seolah-olah dia digulingkan. ‘Target audience’ dia bukan di Twitter, tapi di Facebook dan ‘WhatsApp group’.

“Dia bagi modal buat penyokong dia nak menangis, nak buat video sedih, video propaganda. Amat sedih, majoriti rakyat Malaysia masih percaya,” ciap pengguna akaun @maskbiru