Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menuntut supaya kerajaan menetapkan pampasan sekurang-kurangnya RM1,000 per kaki persegi untuk pemilik tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Beliau yang datang sendiri ke perkarangan Masjid Kampung Baru menentang rampasan tanah rakyat di Kampung Sg. Baru, Kampung Baru itu. Turut serta timbalan beliau, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan pemimpin AMANAH Wilayah Persekutuan.
“Kita menuntut kerajaan untuk menetapkan pampasan bermaruah sekurang-kurangnya RM1,000 per kaki persegi kepada pemilik-pemilik sah tanah orang Melayu,” kata beliau.
Kadar RM1,000 per kaki persegi sebelah ini telah ditawarkan oleh kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan kepada pemilik tanah di Kampung Bharu ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah negara ketika itu.
Namun ia belum sempat dilaksanakan kerana kerajaan PH dijatuhkan menerusi pintu belakang.
Baru-baru ini, kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk memaksa pemilik tanah di Kampung Sungai Baru yang terletak di sebelah KLCC dan Kampung Baru, Kuala Lumpur menyerahkan tanah mereka.
Tanah itu diambil untuk membuat projek komersial oleh sebuah syarikat pemaju swasta.
Sebahagian pemilik tanah di situ membantahnya dengan menuntut harga pampasan yang lebih tinggi berbanding dengan harga yang ditetapkan sekarang.
Kadar pampasan yang ditetapkan sekarang adalah RM450 sekaki persegi yang disifatkan terlalu rendah.
Pemilik pula mencadangkan kerajaan membayar pampasan RM1,500 sekaki persegi berdasarkan penilaian yang dibuat oleh penilai bebas yang mereka lantik.
Kampung Sungai Baru terletak dekat dengan KLCC yang dipisahkan oleh satu lebuhraya dan sebatang sungai.

Di sebelahnya pula adalah Kampung Baru yang terletak di bawah Malay Agriculture Settlement (MAS) yang sebelum ini hendak dibangunkan oleh kerajaan PH di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.