Berjuang tahan sebak lapor kematian, penyampai berita rupanya sahabat Nur Farah Kartini

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Anas Farihin mengakui terpaksa menahan sebaknya ketika membacakan warta kematian Nur Farah Kartini Abdullah, tengah malam tadi.

Mana tidaknya, penyampai berkenaan ditugaskan untuk membaca berita kematian sahabatnya sendiri yang dikenali ketika mereka sama-sama menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Disifatkan sebagai tugas yang paling mencabar sepanjang bergelar penyampai berita, Anas berusaha sehabis baik untuk mengawal emosinya agar khabar duka itu dapat disampaikan.

Perkara itu dikongsikan Anas menerusi satu hantaran tular di akaun TikTok miliknya bersama rakaman memaparkan dirinya ketika menyampaikan berita tersebut untuk segmen Tengah Malam.

“Ini kali pertama aku menyampaikan berita di mana tahap profesionalisme diri betul-betul tercabar. Waktu ini, emosi perlu dijaga. Ekspresi muka perlu dikawal dan sebak di dada juga harus ditahan,” katanya dalam ruangan kapyen.

@thenoshlerr

إنا لله وإنا اليه راجعون Ini kali pertama aku menyampaikan berita dimana taha professionalku betul2 tercabar. Waktu ni emosi ini perlu dijaga, ekspresi ini perlu dikawal, sebak didada perlu ditahan. Faa ini baik orangnya, santun budi pekertinya, wajahnya tak lekang dengan senyuman dan kerjanya dan dedikasinya sentiasa diutamakan. Semoga Faa ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al Fatihah #justiceforfa #upsi

♬ original sound – AnasFarihin – AnasFarihin

Dalam hantaran sama, penyampai berita berusia 25 tahun itu turut menggambarkan mangsa sebagai individu yang sangat baik, lemah lembut dan tidak pernah lekang dengan senyuman.

Anas kemudian mendoakan agar sahabatnya, Nur Farah Kartini, 25, ditempatkan di dalam kalangan orang-orang yang beriman dan turut menyedekahkan al-Fatihah buat arwah.

“Faa (Farah) ini baik orangnya. Santun budi pekerti dan wajahnya tak lekang dengan senyuman. Kerja dan dedikasinya sentiasa diutamakan. Semoga Faa ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al Fatihah.” Ujar penyampai itu.

Terdahulu, jasad Nur Farah ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor sekitar jam 6 petang, semalam selepas dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.

Gadis yang berasal daripada Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

Susulan itu, seorang penjawat awam iaitu anggota polis yang bertugas di Perak ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Baca juga: Kes bunuh Nur Farah Kartini: Penjawat awam dipercayai anggota polis direman 7 hari