Berkereta ke kota Paris

Oleh BORHAN AHMAD

Tiga artikel aku kebelakangan ini berkisar soal kematian dan bahana Covid 19. Demontrasi anak muda dua hari lepas, membuatkan aku berhenti merintih. Aku fikir, cukuplah bercerita pasal kematian.

Artikel ini bercerita mengenai kebangkitan dan tenaga dari kota Paris yang digelar orang sebagai kota romantis, kota cinta dan kota yang indah buat kekasih. Berganding tangan dengan kekasih melewati Eiffel Tower yang terletak di tengah-tengah kota yang sibuk di Paris adalah adegan biasa dalam filem.

Aku bersama isteri dan dua anak aku pergi ke Paris dengan menaiki kereta Renault Megane yang kami beli 500 pound. Itulah kenderaan yang kami ada pada masa itu. Sengaja aku memilih berkereta ke Perancis. Pengalaman mengembara dengan kapal terbang ke Eropah sudah kurasai. Aku mencari kelainan tetapi yang munasabah. Satu lagi, aku merancang berkeretapi ke Eropah dari stesyen Piccadilly di London. Sayangnya, perancangan itu hanya tinggal di atas kertas.

Catrine, isteri Mohamad Nor adalah orang Perancis. Mereka tinggal di Swansea sudah lebih dua dekad. Hampir setiap hujung minggu, kami selalu bersama minum samada di rumah aku di Alexandra Terrace, Brynmill atau di rumah mereka di Sycamore, berhampiran Mumbles. Kadangkala kami ke pantai atau mengutip siput di Gower. Begitulah cara orang UK mengisi cuti hujung minggu terutama di musim panas.

Penyelia PhD aku, Dr. Dawood El Elami mempunyai rumah rehat mereka di Perancis. Walaupun isterinya Kate berasal dari Scotland dan mereka sendiri mempunyai rumah di Lampeter, memiliki rumah di Perancis adalah suatu yang biasa bagi mereka yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan. Ada sesetengah orang di United Kingdom mempunyai rumah percutian peribadi di Sepanyol dan di negara-negara lain.

Maka tidak hairanlah, jika ada orang di tanah air kita yang merancang untuk tinggal di Perancis. Ketika rakyat terkurung dan patuh pada SOP bagi memutuskan rantaian Covid 19, khabarnya ada orang dari kayangan boleh terbang ke Perancis bersama isteri mudanya menikmati dingin dan indahnya kota Paris. Itulah tabiat hidup golongan kayangan.

Perjalanan dari Swansea ke Dover yang sejauh hampir 500 kilometer mengambil masa hampir enam jam. Perjalanan yang merentas UK dari timur ke barat melalui Cardiff, Newport, Bristol, Reading dan beberapa bandar lain sebelum sampai ke Dover.

Mengembara di musim dingin memang murah tetapi tidak dapat menikmati siangnya kerana singkatnya matahari di langit. Kami naik feri di Pelabuhan Dover untuk ke Calais dengan menyeberang Selat Dover. Selepas kami letak kereta, kami naik ke tingkat atas yang dikhususkan untuk penumpang duduk. Tiada kerusi khas. Di bahagian penumpang, boleh pilih samada hendak duduk di restoran, bermain judi, window shopping di pelbagai kedai atau duduk di bahagian hadapan feri. Tidak terasa berada di dalam feri. Ia bagai berada di pusat membeli belah.

Perjalanan dari Dover ke Calais juga boleh menggunakan lebuhraya bawah tanah atau di bawah laut. Dalam hal ini, aku agak konservatif. Biarlah kami memilih untuk menempuh ombak daripada menyelusuri terowong bawah tanah sepanjang 80 km yang memakan masa hampir satu hingga dua jam. Dari Calais ke Paris mengambil masa lima jam perjalanan. Kami tidur di sebuah pekan kecil bagi melepaskan penat memandu seharian. Perjalanan akan disambung esok setelah mentari kembali bersinar.

Kami memilih untuk mencari hotel di zon tiga dan menaiki train dari zon tiga ke zon satu yang menjadi pusat bandar bagi kota Paris. Dari situ, kami berjalan kaki dan menaiki bas berpandukan peta yang ada pada kami. Mengembara di Eropah mengajar kami menggunakan peta sebaik mungkin. Pada masa itu tidak seperti hari ini. Handphone dilengkapi dengan aplikasi peta dan banyak memudahkan perjalanan kita.

Orang Perancis tidak suka dengan orang Inggeris, mungkin ini faktor sejarah mereka. Orang Perancis kurang melayan jika kita menggunakan bahasa Inggeris. Aku memang tidak tahu berbahasa Perancis. Cuma anak aku belajar bahasa Perancis di sekolah mereka merangkak-rangkak bercakap France. Namun, aku tidak berjumpa orang yang tidak melayan kami jika kami tersesat atau sedang mencari jalan. Mereka pasti menolong.

Jika ke Paris, salah satu tempat yang menjadi tumpuan selain Eiffel Tower, The Arc de Triomphe ialah Louvre Museum, tempat lukisan Mona Lisa dipamerkan. Lukisan tersebut bernilai RM1 billon dilukis oleh Leonardo de Vinci, pelukis terkenal pada kurun ke 16 di Eropah. Leonardo berasal dari Itali tetapi lukisan tersebut telah berada di Perancis sejak 1800 lagi. Kebanyakan tempat tarikan pelancong ini ramai orang. Semua ingin merakamkan momen sewaktu berada di situ.

Aku tidak jadi masuk ke galeri tersebut kerana lewat sampai dan tambahan tiket masuknya mahal. Berada di luar bangunan muzium itu sudah memadai merasai kehebatan seni bina Perancis. Mengembara dengan duit sendiri, aku berkira tentang antara keperluan dengan kehendak. Bagi melawat galeri tersebut memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga jam. Jika seorang yang meminati lukisan, masa itu mungkin bertambah lagi.

Seseorang yang ingin menikmati makna sebuah lukisan, ia akan berdiri tegak merenung bukan seminit dua. Mungkin sepuluh minit atau mungkin berjam-jam atau berkali-kali. Lukisan Mona Lisa itu ditafsir pelbagai dari zaman ke zaman hingga sekarang. Tidak habis-habis. Dari kuntum senyumannya, pandangan matanya, tangannya, latar belakang lukisan tidak habis-habis dikaji dan dibahas.

Sebagai penyelidik sains politik, kecenderungan aku kepada Paris sebagai sebuah kota gerakan politik moden. Ini kerana di sinilah Karl Marx mendapat inspirasi tentang teorinya dengan mengambil peristiwa ‘Bloody Week’ pada 21 Mei 1871 yang mengorbankan ribuan orang awam akibat revolusi menentang kerajaan. Bagi Marx, itulah model gerakan pekerja yang terbaik yang disaksikan oleh Marx dalam memberikan keadilan.

Di kota ini juga Marx berbincang dengan Freidrich Engels pada 1844 bagi menubuhkan gerakan pekerja di kota Paris. Café de la Régence adalah salah satu tempat mereka lepak sambil bercerita gerakan politik. Perlu diingat juga, di kota ini juga termetrinya perjanjian Sykes-Picot yang memecah belahkan Empayar Uthmaniah oleh pasukan yang terdiri daripada Perancis-Britian-Rusia dengan kerjasama Sharif Mekah dari keturunan Bani Hashim, keturunan nabi.

Persidangan Damai di Versailles (pinggir kota Paris). Emir Feisal dengan, dari kiri ke kanan, Mohammed Rustum Bey Haidar of Baalbek, Brigadier General Nuri Pasha Said, Kapten Pisani, T E Lawrence and Kapten Hassan Bey Kadri.

Kota Paris bagi aku adalah kota politik. Ia bukan kota romantis. Kota yang sarat dengan peperangan dan politik sepanjang zaman. Imej romantis itu seperti menenggelamkan wajah sebenar kota itu. Jangan pernah percaya pada wajah. Barangkali wajah itu topeng buat sang iblis berlagak nasionalis, pemimpin negara dan pejuang bangsa dan agama.

Jangan sesekali percaya pada wajah itu.