“Berkorban apa saja”, permaisuri rela tinggalkan istana demi mengejar cinta P Ramlee

Oleh WAN SITI AMINAH

Kisah cinta antara seniman lagenda, P Ramlee bersama isteri Almarhum Sultan Perak ke-32 pernah mengejutkan industri hiburan tempatan suatu ketika dahulu.

Mana tidaknya, wanita yang dikenali sebagai Noorizan itu sanggup keluar dari istana dan melepaskan gelaran Permaisuri demi mengejar cintanya.

Kisah itu difahamkan bermula pada tahun 1955 setelah P Ramlee menerima titah daripada Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil.

Difahamkan, seniman negara itu telah dititahkan istana untuk membuat persembahan di Perak atas arahan almarhum baginda Sultan Perak sendiri.

Sebelum acara dimulakan, Almarhum Tuanku sempat berpesan kepada isterinya ketika itu iaitu Permaisuri Noorizan agar tidak memandang mata P Ramlee.

Titah baginda, seseorang wanita termasuk Noorizan berkemungkinan boleh jatuh cinta kepada seniman tanah air itu di saat mereka bertatap mata.

Khabar angin kemudian tersebar kononnya Permaisuri Noorizan telah jatuh cinta kepada P Ramlee akibat terkena panahan asmara.

Walaupun terpisah dek kerana tembok istana, hubungan cinta antara P Ramlee dan permaisuri perak itu tetap berlangsung melalui panggilan telefon.

Percintaan mereka berdua akhirnya terbongkar apabila Almarhum Sultan Yussuf mendapati bil telefon istana naik melambung melebihi biasa. 

Berpunca daripada kejadian itu, baginda sultan akhirnya mengambil keputusan untuk menceraikan Yang Teramat Mulia Permaisuri Noorizan, lapor Utusan Malaysia.

Meninggalkan kemewahan, Noorizan kemudian keluar dari istana dan mendirikan rumah tangga bersama P Ramlee pada tahun yang sama (1955).

Tinggal bersama di Singapura, Noorizan masih berusia 28 tahun ketika memutuskan untuk berkahwin dengan lelaki yang muda dua tahun darinya.

Bahtera perkahwinan yang dibina atas dasar cinta mulai retak menanti belah apabila nama P Ramlee semakin melonjak naik di arena seni.

Semakin sibuk dengan kerjaya, pasangan yang tidak dikurniakan anak itu berpisah pada tahun 1961 selepas enam tahun hidup bersama.

Tetap mengekalkan hubungan yang baik, Noorizan bagaimanapun memutuskan untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi memulakan kehidupan yang baru.

Untuk rekod, Noorizan pernah memegang watak Permaisuri Kerajaan Pasir Dua Butir dalam filem arahan Tan Sri P Ramlee, Laksamana Do Re mi pada tahun 1972.

Lagu ‘Tidurlah Wahai Permaisuri’ dan ‘Berkorban Apa Saja’ dikatakan adalah lambang dedikasi cinta P Ramlee kepada Noorizan.

Baca juga: Dihuni wanita cantik bak bidadari, ini rahsia tersembunyi Lembah Hunza di Pakistan