Zaman sekarang ada banyak cara nak menipu, bukan setakat atas talian sahaja, depan muka pun ada yang berani buat.
Kini ‘scammer’ tidak hanya mencari pesara malah artis yang dikenali ramai juga dengan senang menjadi mangsa penipuan dengan melibatkan perniagaan.
Terbaru pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki memaklumkan dia kerugian mencecah AS$50,000 (RM224,750) selepas menjadi mangsa scam.
Menurut Harian Metro, penipuan itu dilakukan individu yang kononnya ingin menjadi perunding (consultant) bagi mencari dana untuk Afdlin membuka stesen televisyen.
“Saya pernah kena sekali, sampai ke Singapura. Waktu itu saya sedang berusaha untuk dapatkan dana bagi membuka stesen TV saya sendiri.
“Saya dah dibawa ke kawasan Marina Bay di Singapura dan berjumpa individu itu di sana. Memang saya percaya betul sebab mesyuarat pun dijalankan di atas kapal layar.
“Kemudian, untuk menandatangani kontrak pula, saya perlu ke London dan masuk ke sebuah bank elit.
“Jadi, memang itu meyakinkan saya bahawa individu ini melakukan urusan yang sahih,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam pada itu, dia pada mulanya tidak mengetahui ia adalah satu penipuan kerana sudah menyelidik laman web yang dilihat seperti satu perniagaan sah.
“Menurut individu itu, dia memegang wang yayasan orang-orang bersara di United Kingdom dan bila disemak laman web, memang ada muka dia.
“Bila diselidik mengenai syarikatnya, memang wujud secara sah. Jadi, itu lebih meyakinkan.
“Jiwa dah rasa tak jauh lagi untuk saya ada stesen TV sendiri. Tapi, rupa-rupanya itu adalah scam,” katanya.
Pada masa sama, Afdlin sudah membuat laporan polis, malah mengakui mengetahui mengenai penipuan itu selepas memuat naik gambar bersama.
“Saya pernah muat naik gambar individu itu di Facebook dan ramai orang Indonesia yang tahu kewujudan individu ini meminta saya mengesahkan sama ada dia ini melakukan urusan yang sah atau tidak.
“Kerugian yang disebabkan penipuan itu juga sangat teruk mencecah AS$50,000. Nilai itu dibayar untuk gunakan khidmatnya sebagai perunding (consultant) sahaja. Sebijak mana pun kita, penipu-penipu ini lebih bijak.
“Sekarang, katanya dia ada membuka bank sendiri di luar negara. Laporan polis pun dah dibuat, namun tak ada apa dapat dilakukan kerana dia sangat licik dan berpindah randah,” tambahnya.
Baca juga: Ugut bunuh: Ini respon Baby Shima selepas pemandu lori mengaku bersalah, didenda RM4,000