Hanya bermodalkan wang bernilai RM40, lelaki dari Pontian, Johor ini kini mampu meraih pendapatan mencecah RM80,000 sebulan.
Percaya atau tidak, lelaki yang dikenali sebagai Jasmin Pannaot itu berjaya memperolehi keuntungan lumayan dengan hanya menjual karipap, lapor Kosmo!.
Lebih dikenali sebagai epok-epok di kalangan penduduk tempatan, bapa kepada tujuh orang anak itu mula menjual karipap pada tujuh tahun lalu.
Jasmin yang dahulunya bergelar penjaja jalanan itu perlu berjalan kaki kira-kira 10 kilometer setiap hari untuk sampai ke lokasi beliau berniaga.
Sambil menggendong bakul berisi karipap, Jasmin akan menjaja di sekitar Dataran Pontian, Laman Diraja Pontian dan juga di pasar malam.
Untuk menarik perhatian dan minat pelanggan, Jasmin mendendangkan lagu pasukan bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) sambil menjaja.
Menggendong bakul terlalu lama, tangan Jasmin pernah tidak dapat bergerak seperti biasa sehingga terpaksa membeli troli untuk menjaja.
Nasibnya berubah setelah membuka kedai di bawah bimbingan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Kini, Jasmin telah berjaya membuka beberapa gerai kecil atau ‘stall’ Karipap Ale-Ale di beberapa kedai makanan popular di sekitar Pontian.
“Saya telah membuka sebuah kedai di bawah bimbingan RISDA yang mampu mengeluarkan kira-kira 2,000 hingga 5,000 epok-epok sehari.
“Karipap yang saya jual mempunyai pelbagai jenis inti seperti kentang, telur, sardine, ayam, daging, nanas, keju dan mihun dengan harga RM1 hingga RM5 (ikut saiz),” katanya.
Turut menjual karipap sejuk beku atau frozen, Jasmin mampu meraih untung antara RM60,000 hingga RM80,000 sebulan.
Pernah meraih keuntungan RM100,000 ketika cuti persekolahan, Jasmin telah berbincang dengan pelabur Singapura untuk memasarkan karipapnya ke negara itu.
Baca juga: Ramai berhutang demi konsert, pinjam duit untuk beli tiket