Bersatu akan jadi saingan hebat Umno-BN di Kedah

Oleh MALAYSIADATELINE

Berdasarkan pemerhatian akar umbi, pakatan pembangkang mampu mendapatkan kembali negeri Kedah daripada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, pakatan pembangkang khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi tentangan hebat kepada Umno-BN antaranya di Langkawi dan Kubang Pasu.

Selain dua kawasan berkenaan katanya, lapan lagi kerusi bahaya kepada BN dengan undi kurang 55 peratus adalah kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baru, Pendang, Merbok, Baling, Sik, Jerlun dan Padang Terap.

Sementara itu, di Johor, jika sokongan memihak kepada Pakatan Harapan dan Bersatu, mereka mampu menawan negeri itu kerana BN hanya menang tipis dengan kurang 55 peratus undi di 60 daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka dalam PRU13.

“16 daripada kerusi itu pula dimenangi dengan kurang 50 peratus undi. Malah, terdapat 11 kerusi Parlimen di Johor mampu ditawan jika sokongan memihak kepada pakatan pembangkang,” ujarnya dalam kenyataan.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Kluang, kawasan yang dimenangi BN dengan undi kurang 55 peratus di Selatan Johor antaranya melibatkan kawasan Parlimen Pasir Gudang, Pulai, Tebrau, Tanjong Piai dan Johor Bahru, manakala di Utara Johor; Labis, Segamat, Ledang, Muar, Sekijang dan Pagoh.

Menurut Chin Tong, terdapat beberapa faktor yang memungkinkan BN kalah dalam pilihan raya, sekaligus mencipta sejarah menjadi pembangkang buat pertama kali di peringkat Persekutuan.

Katanya, strategi ‘ketuanan Melayu’ Umno tanpa menghiraukan sensitiviti parti komponen Barisan Nasional (BN) lain antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan teruk MCA, MIC dan Gerakan dalam PRU 2008 dan 2013.

Ia ditambah dengan kegagalan Umno memperluas pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sejak 2013 sehingga dilihat terpaksa bekerjasama dengan Pas bagi mewujudkan pola penentangan antara Melayu dan bukan Melayu.

“Umno berharap bahawa pakatan sulitnya dengan Pas akan memecahkan lagi masyarakat dengan mewujudkan persaingan antara Islam dan bukan Islam.

“Mereka turut berharap gabungan Umno-Pas akan memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, menurut Chin Tong, tindakan Umno itu menimbulkan masalah lain dengan pengundi bukan Melayu dari semenanjung termasuk majoriti di Sabah dan Sarawak mula menjarakkan diri dari parti itu.

Faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga katanya, yang kini dianggap liabiliti kepada Umno ekoran skandal 1MDB serta dasar membebankan seperti GST, kenaikan harga minyak dan potongan bajet kesihatan dan pendidikan boleh menyumbang kepada kekalahan BN.

“Pihak yang marah dengan sikap pemimpin Umno itu telahpun menubuhkan Bersatu dan parti tersebut telah membuka jalan kepada kawasan yang sebelum ini tidak dapat dimasuki oleh pakatan pembangkang,” ujarnya.