“Bersatu, Pas tidak boleh halang RUU Lompat Parti kerana kami ada 2/3,” kata MP PH, BN

Oleh BORHAN AHMAD

Dua ahli Parlimen masing-masing dari Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yakin Rang Undang-undang Anti Lompat akan diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan dua pertiga sokongan apabila dibentangkan nanti.

Ini kerana, hampir kesemua parti bersetuju dengan RUU ini kalaupun Bersatu dan Pas tidak bersetuju, kata Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz dalam forum mereka berdua malam tadi.

“Kami yakin, apabila RUU ini dibentangkan nanti, ia akan mendapat sokongan dua pertiga ahli dewan.

“Apa yang boleh dibuat oleh Bersatu dan Pas adalah menghalang dari RUU ini dibentangkan sahaja. Bila dah dibentang, akan lulus dua pertiga,” kata Khalid dengan dipersetujui oleh Nazri dalam program SKOP anjuran Malaysia Gezeete itu.

Menurut mereka berdua, RUU ini mendapat sokongan penuh dari PH, BN, Warisan, Muda dan juga parti-parti di Sarawak yang mempunyai bilangan ahli lebih dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Kalau Bersatu dan Pas tentang sekali pun, kami akan tetap dapat dua pertiga, kata Khalid dan Nazri.

“Menteri yang mendrafkan RUU ini pula dari GPS Sarawak iaitu Datuk Seri Wan Junaidi (Tuanku Jaafar) dari GPS.

“Jadi kami yakin bila bentang sahaja ia akan mendapat sokongan dua pertiga. Apa yang mereka boleh buat adalah halang dari ianya dibentang,” kata Khalid Samad dalam forum yang dibuat secara live itu.

Nazri pula berkata, Kabinet tidak boleh menghalang perbentangan ini kerana ia kehendak Dewan Rakyat selepas Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan Dewan Rakyat bersetuju dengan RUU ini nanti.

Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan mula bersidang esok di bangunan Parlimen.

Nazri, bekas Mentri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen) menjangkakan, berdasarkan proses yang ada, RUU ini akan boleh dibentangkan awal Jun ini.

“Selepas diluluskan oleh Select Comitte, ia akan dibawa kepada AG Chamber, kemudian ke Kabinet sebelum di bawa kembali untuk diundi dalam Dewan Rakyat.

“Jadi saya jangka, ia akan boleh dibawa ke Dewan Rakyat awal Jun ini,” kata Nazri.

Sebelum ini, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan akhir Mei manakala Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menjangkakan selewat-lewatnya Julai ini untuk perbentangan RUU ini.

“Yang pasti kita mahu RUU ini lulus dan undang-undang Anti Lompat parti ini berkuatkuasa sebelum kita masuk PRU 15 nanti,” kata Nazri dalam forum itu.

Menurut Nazri dalam forum malam tadi, beberapa anggota Kabinet yang ada telah mempertikaikan draf RUU Anti Lompat ini sehingga ia tidak diluluskan untuk dibentangkan Isnin lepas.

“Sekurang-kurangnya lima anggota Kabinet yang ada tak setuju,” kata Nazri dalam forum malam tadi.

Namun Nazri menegaskan, RUU Anti Lompat ini adalah kehendak rakyat dan diterima oleh parti-parti yang mempunyai anggota lebih dua pertiga anggota Dewan Rakyat yang ada.

“Ini adalah ‘our call’ bukan ‘Kabinet call’ dan Kabinet tidak boleh menolaknya,” kata Nazri dalam forum malam tadi.