Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memastikan pengaruh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut Datuk Mohd Arifin Mohd Arif akan memberi kemenangan kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Jan ini.
Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata pengaruh Mohd Arifin menjadi satu kelebihan bagi Bersatu dalam membantu calon Warisan memperoleh kejayaan pada PRK berkenaan.
“Secara umum, kami berkempen seperti biasa tetapi sasaran pertama kami untuk ‘menyerahkan’ undi (sokongan) diperoleh Arifin (pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas) sekali gus menyumbang kepada kemenangan calon Warisan bagi Parlimen Kimanis.
“Bersatu bekerja keras membantu jentera Warisan untuk meyakinkan pengundi Parlimen Kimanis supaya mereka terus yakin dengan kerajaan Warisan-PH (Pakatan Harapan) di Sabah dan juga kerajaan PH-Warisan di peringkat Persekutuan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Baurung-Baurung di Pantai Pimping, Membakut, hari ini.
Turut hadir Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor dan Timbalannya Datuk Masidi Manjun serta Mohd Arifin merangkap Ketua Bersatu Bahagian Kimanis.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata Kimanis mempunyai banyak potensi untuk dibangunkan termasuk dalam sektor pelancongan yang mampu melonjakkan sumber pendapatan penduduk.
Beliau berkata hubungan akrab antara kerajaan Sabah dan Persekutuan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan pembangunan lebih mampan di negeri ini demi kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan.
“Justeru, kita mahu ahli Parlimen Kimanis datang daripada parti pemerintah supaya rakyat boleh mendapat manfaat (pembangunan). Kami berharap rakyat memberi kepercayaan seterusnya mandat kepada calon Warisan (pada PRK Kimanis ini),” katanya.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 18 Jan dan hari pengundian awal pada 14 Jan.
— BERNAMA