Bersatu telah menggugurkan keanggotaan tiga ahlinya yang bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak kali ini.
Pengerusi Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, mereka yang digugurkan itu ialah Siki Balarik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).
“Mereka telah pun digugurkan keanggotaan secara automatik menurut Perlembagaan Bersatu. Kita telah memberikan mereka masa dan peluang untuk menarik diri tapi tiada tindakan dibuat mereka, jadi keahlian mereka telah gugur.
“Bersatu tetap dengan pendirian tidak bertanding pada PRN Sarawak,”ujar Jaziri..
Sebelum ini, Ali Biju penyandang kerusi DUN Krian membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan bahawa parti itu tidak bertanding pada PRN12 Sarawak sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Saratok yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak itu akhirnya mengumumkan menarik diri atas alasan bagi memelihara muafakat dan memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional dan GPS sekali gus menyaksikan beberapa pemimpin gabungan politik itu meminta beliau menerangkan keadaan sebenar kepada pengundi.