Bertemu sahabat lama selepas banjir besar

Oleh BORHAN AHMAD

Sudah hampir dua puluh tahun kami tidak bertemu. Pada pilihanraya umum 1999, Hamdan Taha bertanding atas tiket KeADILan di Dun Changkat Jong dan saya atas tiket Pas bertanding di Dun Sg. Manik. Beliau Ketua KeADILan Cabang Teluk Intan dan saya Ketua Pemuda Pas Pasir Salak.

Kami bersama dalam Pemuda Barisan Alternatif peringkat nasional. Pasir Salak sering menjadi stesyen untuk KeADILan mengadakan program besar mereka. Pada hari pelancaran parti itu, malamnya diadakan ceramah besar-besaran di Chenderong Balai yang terletak di parlimen Pasir Salak. Wan Azizah, selaku Presiden datang dan Hamdan Taha berucap manakala saya menjadi Pengerusi Majlis. Kemudian, Malam Sumpah Keramat Pemuda KeADILan juga diadakan di Pasir Salak.

Pidatonya sangat menarik. Gaya penampilannya bersahaja dalam mengupas isu-isu reformasi. Ketika itu, program ceramah Pas mesti ada gandingan dengan pimpinan KeADILan. Penceramah dari KeADILan seperti Ezam Mohd. Nor, Azmin Ali, Mustafa Kamil Ayub saling tak tumpah macam Anwar Ibrahim berpidato.

Selepas beberapa ketika Hamdan memilih untuk kembali bersama Umno dan saya tetap dengan Pas. Kemudian, kami meneruskan kehidupan masing-masing.

Musibah banjir 2021 ini menemukan kembali kami. Rumahnya di Bukit Lanchong, Putra Height menjadi bagai kapal nabi Nuh. Menurutnya lebih 150 orang yang merupakan jiran tetangganya berlindung di tingkat atas rumahnya. Sungai Klang di belakang rumahnya melimpah menenggelamkan rumah-rumah jirannya. Musnah segala harta benda.

Ini kawasan Bang Mat, Kota Raja tapi muka dia pun tak nampak’ keluh sahabat saya dalam FBnya. Itu sebab saya bertanggungjawab untuk datang juga. Rupa-rupanya Bang Mat sudah datang lebih awal daripada saya. Lega. Dalam bab ini, Presiden parti saya jarang mengecewakan rakyat.

Pimpinan Amanah Pasir Salak bersama Presiden Amanah, Bang Mat di Bukit Lanchong.

Begitulah sukarnya menjadi wakil rakyat. Apabila rakyat susah atau ditimpa musibah, wakil rakyat wajib merasai kepedihan dan deritanya rakyat. Jangan sesekali buat tidak faham atau tunjukkan muka tiada jiwa.

Hari Sabtu lalu Wah, Setiausaha Amanah Pasir Salak bersama Firdaus, Ketua Pemuda Amanah Pasir Salak dan Anuar Huri. Kami kumpul duit sikit-sikit untuk bantu mangsa banjir. Mereka hanya kata hendak pergi Shah Alam dan Kota Raja. Mereka datang sebagai wakil Amanah Pasir Salak dan Amanah Perak.

Mereka kata hendak tolong rakyat di kedua-dua kawasan yang wakil rakyatnya adalah Presiden dan Ketua Komunikasi parti. Rupanya mereka pergi ke Bukit Lanchong. Tiga empat hari kemudian, baru saya pergi.

Saya pergi atas nama persatuan Jalinan Nusantara Malaysia, sebuah persatuan tidak terkenal, kecil, sedikit tapi bercita-cita besar. Muka saya memang membawa imej parti Amanah. Rasanya tidak perlu sangat hendak promote parti masa berduka ini.

Shah Alam adalah suatu penempatan bandar dan kebanyakannya berpendapatan sederhana dan tinggi. Tidak terfikir bahawa Shah Alam rupanya menyimpan sejuta derita yang jarang dikongsi sama oleh masyarakat.

Musibah banjir 2021 telah membuka betapa mahalnya pembangunan yang perlu kita bayar. Kampong Kebun Bunga terletak bersebelahan dengan apartment mencakar langit. Kebanyakan mereka yang tinggal di situ adalah peneroka awal pada tahun-tahun 60an hingga 70an.

Manakala di kawasan Bukit Lanchong bersebelahan dengan Saujana Height adalah penduduk miskin bandar. Seperti juga di Kampong Padang Jawa yang mengalami musibah sama. Mereka dikepung oleh pembangunan yang pada hari ini telah menelan mereka melalui banjir besar.

Hamdan Taha menunjukkan Sungai Klang yang terletak di belakang rumahnya.

Sungai Klang yang menyusuri antara tembok-tembok konkrit terbeban menanggung air yang datang daripada pelbagai puncak dan aliran. Manakala tanah tidak lagi mampu meresap limpahan air larian yang besar. Pembangunan diundang tidak lagi mampu ditahan.

Hamdan Taha membawa saya ke bahagian belakang rumahnya yang boleh saya saksikan sendiri keadaan Sungai Klang. Sungai Klang tidak lagi mampu membawa beban.

Dan tatkala pembangunan tidak lagi menaruh kasihan kepada rakyat miskin, hanya rasa pasrah kepada ketentuanNya, kemanusiaan dan ikatan kekeluargaan yang menjadi penyelamat kepada sebuah masyarakat untuk bangkit meneruskan kehidupan.

Masyarakat yang tidak terkena dengan musibah banjir telah mengambil inisiatif membantu mangsa banjir dengan pelbagai cara. Paling tipikal adalah mengumpul sumbangan kewangan untuk diberikan kepada mangsa. Mereka memberikan kata-kata perangsang dan doa menerusi aplikasi media sosial kepada mangsa banjir. Semua ini membuka ruang untuk berkomunikasi lebih rapat dan berkongsi rasa duka.

Banjir kali ini memberi peluang saya menemui beberapa rakan-rakan lama, kenalan dan juga kaum keluarga yang bertahun-tahun hilang dalam radar kesibukan hidup masing-masing.