Betul ke jatuh talak kalau suami mengaku bujang depan wanita lain? Ini penjelasan UAI

Oleh WAN SITI AMINAH

Penularan dakwaan bahawa talak boleh terjatuh sekiranya suami mengaku bujang di hadapan wanita lain sering kali mengundang perbincangan hangat di media sosial sehingga membuatkan ramai kaum hawa tidak karuan.

Perkara ini juga sudah tentu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pasangan suami isteri sekiranya mereka pernah membuat pengakuan serupa sewaktu bergurau dengan orang lain dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, dakwaan ‘berbahaya’ yang telah telanjur ditularkan tanpa merujuk sumber tepat termasuk hukum-hakam sahih ini tidak benar sehingga pendakwah bebas terkenal tampil mengulas isu ini.

Pendakwah terbabit iaitu Ustaz Azhar Idrus di dalam satu sesi ceramah untuk meleraikan kekeliruan orang ramai ini menjelaskan bahawa pengakuan sedemikian oleh para suami tidak menyebabkan terjatuhnya talak.

“Tak jatuh talak. Hari itu, keluar dalam platform Facebook ada orang tulis ‘mana-mana suami yang mengaku bujang depan perempuan, jatuh talak’. Ramai lagi tak tahu tetapi beribu orang kongsi semula padahal status itu salah.

“Orang tulis, ‘terbaik, terbaik, terbaik’. Salah itu, (sebenarnya) tak jatuh (talak). Bahaya (kenyataan) itu. Sahkan dahulu, tanya ustaz dulu kalau kita tak tahu,” katanya dalam satu perkongsian video di laman Youtube.

Ustaz Azhar menjelaskan bahawa lafaz seperti ‘Saya masih bujang’, ‘Saya belum kahwin’ dan ‘Saya tidak ada isteri’ tidak menjatuhkan talak kerana ia termasuk dalam lafaz kinayah iaitu lafaz tidak jelas dalam situasi perceraian.

Talak hanya terjatuh sekiranya lafaz tersebut diungkapkan oleh para suami diiringi dengan niat jelas untuk bercerai seperti, ‘Saya sudah bujang kerana telah bercerai dengan isteri pada minggu lepas’.

Pendakwah itu juga tidak menafikan sikap segelintir kaum Adam yang sering mengaku bujang dalam konteks ingin mengurat wanita namun situasi itu tidak termasuk dalam lafaz yang menyebabkan talak.

“Orang lelaki kan, tak akanlah dia nak kata sudah kahwin. Dia nak mengurat macam mana kalau mengaku sudah berkahwin? (Jadi) dia katalah bujang. Kalau sejenis lelaki (mengurat) memang kata begitu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ustaz Azhar juga memberikan peringatan kepada para suami untuk tidak melafazkan cerai dengan alasan gurauan kerana ia termasuk di dalam tiga perkara dalam Islam dianggap serius selain nikah dan rujuk.

Hal ini kerana talak boleh terjatuh sekiranya lafaz cerai itu jelas dan lengkap serta tidak tersilap cakap walaupun si suami hanya berniat untuk bergurau mahupun membuat sebarang kejutan kepada pasangan.

“Kalau kita bergurau dengan isteri atau siapa pun dengan menggunakan lafaz talak yang sarih, jatuh talak. Mungkin dia kata ‘Yang, mari kejap’. (Isteri datang tanya) ‘Apa dia?’ (Suami cakap) ‘Abang sudah ceraikan awak, gurau sahaja’.

“(Sudah) jatuh satu talak kerana lafaz itu jelas. Apa-apa pun kena pergi ke mahkamah syariah. Sebab apa? Jawapan (ini) sekadar soalan. Kadangkala situasi yang berlakunya lain, soalannya lain. Jadi kita jawab ikut soalan.” Ujarnya.

Penceramah yang mesra disapa sebagai UAI itu turut memberikan peringatan supaya umat Islam tidak mudah menyebarkan status berkaitan hukum-hakam agama tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu.

Baca juga: Tak malu mengaku tumpang rezeki anak, ucapan Achey untuk Tiara undang rasa sebak