Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sememangnya pernah melarang umat Islam untuk menyimpan daging korban lebih daripada tempoh tiga hari.
Walau bagaimanapun, larangan itu telah dimansuhkan do atas faktor perubahan situasi semasa sebagaimana dinyatakan Imam Nawawi dalam kitabnya, Raudah Al-Tolibin.
Petikan daripada kitab itu turut dikongsi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel di laman web rasminya yang bertajuk Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban siri ketujuh.
Imam al-Nawawi menyebutkan: “Dibolehkan untuk menyimpan sebahagian daripada daging korban. Adapun larangan menyimpan daging korban melebihi tiga hari dilarang oleh Nabi SAW.
“Kemudian, Baginda SAW telah mengizinkannya dan ianya thabit di dalam hadith yang sahih lahi masyhur,” jelas Imam Nawawi berhubung isu tersebut menerusi kitab tulisannya itu.
Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan bahawa larangan itu dikeluarkan Rasulullah SAW ketika berlakunya musim kelaparan bertujuan khusus untuk membantu umat Islam yang berada dalam kesusahan.
Hukum menyimpan daging korban melebihi tiga hari menurut mazhab Syafie adalah ‘harus’ dengan syarat ia tidak rosak dan juga menyebabkan berlakunya pembaziran.
Namun demikian, hukum harus ini hanya termaktub kepada bahagian daging yang dimakan sendiri bukanlah daging yang ingin disedekahkan kepada golongan fakir miskin.
Hal ini berikutan hukum mengagihkan bahagian daging bertujuan disedekahkan adalah ‘sunat’ untuk dilakukan dengan secepat mungkin khusus kepada mereka yang memerlukan.
“Sekiranya daging korban di simpan melebihi tiga hari, maka tujuan memberi makan mereka yang memerlukan tidak tercapai. Ini juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’. Wallahu a’lam.” Ulas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Baca juga: Terkandas di KLIA, penyanyi legenda tanah air antara mangsa penipuan haji