Betul ke Saiful Apek ditahan pihak polis? Ini penjelasan dari Azlee Senario

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular satu gambar semalam memaparkan dua individu dipercayai ditahan oleh polis yang mana salah seorangnya dikatakan merupakan pelawak terkenal, Saiful Apek.

Gambar tersebut dikirim seorang individu kepada sebuah portal media tempatan memperlihatkan pelawak berusia 56 tahun yang memakai baju Melayu berwarna merah jambu itu ditahan di satu lokasi tidak diketahui.

Pemilik nama sebenar Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff itu dikatakan ditahan oleh dua anggota beruniform bersama seorang lagi individu yang juga tidak diketahui identitinya.

Difahamkan, Saiful ketika dihubungi pihak media enggan mengulas dakwaan tersebut namun anggota kumpulan Senario iaitu Azlee menafikan sahabatnya ditahan pihak berkuasa.

Azlee menjelaskan bahawa Apek berada dalam keadaan baik-baik sahaja namun tidak mengetahui keberadaan pelawak berkenaan ekoran tiada jadual bersama pada hari kejadian, lapor Berita Harian.

“Tiada (tidak ditahan). (Dakwaan) Itu tidak betul. Tiadalah, elok sahaja. Tidaklah dia kena tahan. Kerana setahu saya, dia elok sahaja. Tiada apa. Tidak betul rasanya dakwaan itu.

“Kami tiada persembahan bersama hari ini (semalam). Mungkin dia ada promosi filem terbaharunya, 6 Jilake. Saya pun belum hubungi dia lagi,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Dalam pada itu, portal media terbabit juga sudah menghubungi Saiful susulan menerima gambar itu dan pelawak berkenaan memaklumkan bahawa dirinya akan memberi penjelasan mengenainya dalam masa terdekat.

Industri hiburan pada bulan Mac lalu dikejutkan dengan penahanan seorang lagi anggota Senario dipercayai Yassin Yahya di Lapangan Terbang Jeddah oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Pelawak berkenaan berkunjung ke negara tersebut untuk menunaikan umrah bersama anggota kumpulan Senario yang lain namun ditahan selepas disyaki membawa masuk bahan terlarang.

Selebriti itu dipercayai sedang menjalani penjara selama enam bulan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman semasa tempoh perbicaraannya pada November tahun lalu.

Baca juga: Pesara dakwa diperdaya suami selebriti berpangkat Datuk Seri, rugi RM109,500