Walaupun sudah berbeza agama, kebanyakan mualaf akan tetap merayakan perayaan bersama keluarga tercinta.
Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah juga menyambut Tahun Baru Cina di kampung halaman di Taiping, Perak bersama ibu dan ahli keluarga yang lain.
Tahun ini dia memilih untuk membawa emaknya makan malam di restoran bersama keluarganya lapor Harian Metro.
“Setiap kali sambutan Tahun Baru Cina saya akan luang waktu balik jenguk emak di kampung.
“Saya tengok apa yang emak perlukan. Namun, pada usia 84 tahun, emak tidak perlukan apa-apa sangat.
“Jadi, tahun ini saya buat cara saya di mana saya bawa emak menikmati makan malam bersama keluarga di luar,” katanya.
Jelasnya majlis makan besar kali ini lebih meriah apabila disertai abang dan adiknya Shahrizan Hussin.
“Sambutan Tahun Baru Cina makin bermakna sejak 10 tahun lalu selepas kami kembali bersatu dengan Shahrizan yang terpisah hampir 40 tahun.
“Mendiang ayah dulu berkhidmat sebagai tentera, adik beradik kami ramai. Ayah pula sering dihantar bertugas ke luar negara seperti Congo, Pakistan dan India.
“Jadi agak sukar untuk emak uruskan anak sendirian. Apabila emak lahirkan Shahrizan, mereka sepakat serahkan adik kepada bidan.
“Walaupun adik diserahkan pada orang lain, tetapi, dua tahun pertama emak masih susukan adik. Namun, bidan yang berbangsa Melayu itu berpindah dan kami akhirnya terputus hubungan,” tambahnya.
Dalam pada itu Adam memaklumkan dia mempunyai seorang lagi adik yang diserahkan kepada keluarga Cina, namun, terputus hubungan sehingga sekarang.
Baca juga: Isteri Along Cham lapor polis, dakwa ditipu RM95,180 untuk urusan pembebasan suami